Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    PRU Thailand: Puak bukit, Spider-Man dan gajah keluar mengundi

    CHIANG MAI, 14 MEI – Daripada orang-orang bukit Hmong yang mengundi di kawasan pergunungan hutan yang diselubungi kabus hinggalah kepada cosplayers Spider-Man di jalan raya yang panas terik di Bangkok, berjuta-juta keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand hari ini.

    Pengundi dijangka akan memberikan kekalahan besar kepada penyandang Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha selepas kempen yang dilihat sebagai pertembungan antara generasi muda reformis dan pertubuhan konservatif yang disokong tentera.

    Kira-kira 52 juta orang telah didaftarkan untuk mengundi di seluruh kerajaan yang luas itu.

    Di utara Chiang Mai, ratusan penduduk bukit Hmong beratur untuk mengundi di dewan bertiang kayu jati, sejurus selepas pengundian dibuka pada jam 8 pagi (0100 GMT).

    “PRU ini baik untuk semua orang kerana kita akan melihat perubahan besar yang telah kita tunggu sejak lapan tahun lalu,” kata Jidapa Wangwanapat kepada AFP.

    Dua lelaki berpakaian Spider-Man membuat persembahan di hadapan barisan pengundi yang sedang menunggu giliran mereka di pusat mengundi semasa PRU Thailand di Bangkok, kelmarin. – AFP

    “Jika pilihan raya ini berjalan lancar dan tiada rasuah, maka saya rasa negara akan menjadi lebih baik,” kata pemuda berusia 22 tahun itu.

    Parti pembangkang telah mendahului dalam pengundian menjelang PRU, mengetengahkan ketidakpuasan hati pengundi terhadap ekonomi yang bergelut dan pemulihan yang lemah selepas wabak.

    “Saya menjangkakan PRU ini akan mengubah Thailand ke arah yang lebih baik memandangkan ekonomi benar-benar teruk pada masa ini,” kata Maethawe Wangwanapat kepada AFP.

    “Saya harap pilihan raya ini akan menggerakkan negara ke arah yang lebih baik,” kata Maethawe, 30, memakai jaket tradisional Hmong.

    Orang Hmong, yang di Thailand kebanyakannya tinggal di utara Chiang Mai dan Chiang Rai, mempunyai sejarah yang rumit dengan Thailand tengah dan ada yang terus menghadapi diskriminasi. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...