Prudential perkenal aplikasi ‘Pulse’

KUALA LUMPUR, 25 JUN – DoctorOnCall bekerjasama dengan Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Babylon Healthcare Services Limited dari UK dan AIME memperkenalkan aplikasi ‘Pulse’ bagi memantau status kesihatan, bercakap dengan doktor berkelayakan secara dalam talian dan mendapatkan penghantaran ubat terus ke rumah.

Pulse, aplikasi unik dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dilancarkan PAMB baru-baru ini boleh menilai kesihatan pengguna, termasuk gaya hidup, kesihatan mental, kesihatan organ dalaman dan risiko penyakit pada masa akan datang melalui soal selidik.

Menurut satu kenyataan, aplikasi itu menyediakan maklumat mengenai kesihatan semasa pengguna serta kesedaran tentang aspek-aspek yang perlu diperbaiki. Ia juga menggabungkan fungsi  Symptom Checker (Pemeriksa Simptom) yang membawa kepada pengguna kemungkinan diagnosis atau punca simptom.

Pengguna boleh memilih untuk bercakap dengan doktor dalam talian dengan bayaran hanya RM1 dan doktor akan membuat diagnosis dan mengesyorkan rawatan yang sesuai serta mengeluarkan preskripsi elektronik, sekiranya perlu.- Bernama