PSA, Fiat Chrysler setuju syarat gabungan

PARIS, 18 DIS – Pengilang kereta Perancis, PSA dan pesaing AS-Itali, Fiat Chrysler berkata hari ini mereka telah bersetuju dengan terma gabungan untuk mewujudkan pembuat kereta keempat terbesar dunia ketika sektor itu bergelut dengan kesukaran dan peralihan ke arah mobiliti lebih mapan dan bersih yang menelan belanja yang besar.

“Fiat Chrysler Automobiles dan Peugeot SA (Groupe PSA) hari ini telah menandatangani persetujuan gabungan terikat 50/50 bagi perniagaan mereka untuk menubuhkan pengilang peralatan original automotif keempat terbesar global dari segi isi padunya dan ketiga besar menerusi pendapatannya,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya lagi, tidak akan ada ‘penutupan kilang hasil daripada peralihan itu’.

Berada pada kedudukan di belakang pesaing-pesaing global seperti Volkswagen, Renault-Nissan-Mitsubishi dan Toyota, kumpulan gabungan itu akan mempunyai tenaga kerja lebih 400,000, jumlah pendapatan dekat 170 bilion euro (AS$190 juta) dan jualan unit tahunan kira-kira 8.7 juta kenderaan.

Jenamanya akan termasuk Fiat, Alfa Romeo, Chrysler, Citroen, Dodge, DS, Jeep, Lancia, Maserati, Opel, Peugeot dan Vauxhall.

Entiti bergabung itu akan mempunyai ‘kepimpinan, sumber dan skala di barisan hadapan era baharu mobiliti mapan,” kata PSA dan Fiat Chrysler.

Penggabungan itu yang kedua-dua belah pihak pada asalnya bersetuju pada akhir Oktober – akan ‘menghantar kira-kira 3.7 bilion euro dalam anggaran sinergi tahunan’ atau penjimatan kos.

Gabungan itu dijangka akan diselesaikan dalam 12 hingga 15 bulan, menurut kenyataan.

Ketua Fiat Chrysler, John Elkann akan menjadi pengerusi manakala ketua eksekutif PSA akan disandang oleh Carlos Tavares. – AFP

Gambar gabungan dihasilkan pada 31 Oktober 2019 menunjukkan Carlos Tavares (kiri) dan John Elkann. – AFP