Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Sebanyak 19 terbitan terbaharu Pusat Sejarah Brunei (PSB) berupa buku, jurnal dan majalah telah dilancarkan oleh jabatan berkenaan semasa Pesta Buku Brunei 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, Sabtu lalu.
Hadir menyempurnakan pelancaran ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan. Buku, jurnal dan majalah yang dilancarkan pada majlis berkenaan termasuk Wanita Brunei: Pendidikan Pramerdeka (1914-1983), Merista: Kumpulan Artikel Sejarah, Pemikiran dalam Sejarah Brunei: Himpunan Kertas Kerja Seminar dan Penyelidikan dan Legenda Tasek Merimbun.
Selain itu, enam buah buku cerita bergambar sejarah Brunei iaitu terjemahan Bahasa Inggeris bertajuk The Heroism of Awang Semaun, Legend of Jong Batu, Sultan Sharif Ali, The Japanese Occupation in Brunei, Legend of Lumut Lunting dan The Lost Crown, dua keluaran Jurnal Darussalam Bilangan 20 dan Bilangan 21 serta tujuh keluaran Majalah Pusaka Bilangan 47, Bilangan 48, Bilangan 49, Bilangan 50, Bilangan 51, Bilangan 52 dan Bilangan 53.
Buku, jurnal dan majalah terbitan PSB termasuk terbitan terbaharu boleh didapatkan pada potongan harga sehingga 70 peratus sepanjang Pesta Buku Brunei 2022 yang akan berlangsung sehingga 31 Julai depan.