PSCR 2.0 akan dilancar 7 September

Oleh Rokiah Mahmud

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memaklumkan bahawa sistem pengambilan baharu iaitu Public Service Commission Recruitment 2.0 (PSCR 2.0) akan dilancarkan pada 7 September ini bagi menggantikan sistem Public Service Commission Recruitment yang digunakan ketika ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPA, projek pembangunan sistem berkenaan
mempunyai dua fasa yang mana fasa pertama (bagi pengguna Front End) telah pun siap sepenuhnya manakala pembangunan bagi fasa kedua (business users) sedang giat dijalankan pada masa ini.

Matlamat sistem berkenaan adalah bagi memudahkan urusan permohonan dan pengisian jawatan kosong di sektor perkhidmatan awam secara lebih efektif, efisien dan interaktif.

Sehubungan itu, SPA menasihatkan para pencari kerja untuk menyediakan salinan sijil-sijil kelulusan dan dokumen-dokumen yang relevan dalam bentuk fail PDF.

Perkara berkenaan adalah sebagai persediaan pengguna-pengguna sistem tersebut untuk memuat naik dokumen-dokumen yang diperlukan ke dalam sistem PSCR 2.0. Sijil-sijil kelulusan dan dokumen yang terdapat dalam sistem pada masa ini juga boleh digunakan untuk dimuat naik semula ke dalam sistem yang baharu itu nanti.

Kenyataan menambah, sistem tersebut dibangunkan dengan ciri-ciri baharu berkonsepkan mesra pengguna, lebih mudah digunakan dan interaktif.