PSG benam Leipzig untuk mara ke final

LISBON, 19 OGOS – Paris Saint-Germain mara ke pusingan final Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas gol jaringan Marquinhos, Angel Di Maria dan Juan Bernat membantu mereka menewaskan RB Leipzig 3-0 dalam perlawanan separuh akhir di Lisbon kelmarin.

Kedudukan menjadi 2-0 sebelum separuh masa pertama tamat, dengan dua gol dicipta oleh Neymar, pemain Brazil itu sekali lagi cemerlang di Estudio da Luz, sama seperti aksinya dalam suku akhir minggu lalu menentang Atalanta.

Gol Bernat hadir pada minit ke-55, sekali gus melenyapkan harapan Leipzig untuk kembali bangkit. Mereka gagal mengekang kehebatan pemain termahal dunia atau persembahan cemerlang yang dipamerkan oleh pasukan PSG, yang tidak lagi ditimpa nasib malang dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Selepas berulang kali disingkirkan di kejohanan Eropah dalam tahun-tahun kebelakangan – tewas 6-1 di tangan Barcelona pada 2017 dan tewas kepada Manchester United tahun lalu dalam pusingan kelompok 16 terakhir – meskipun pelaburan besar oleh pemilik dari Qatar, kini telah membuahkan hasil.

“Kami mahu mencipta sejarah dan kami berjaya melakukannya,” Di Maria memberitahu penyiaran Perancis, RMC Sport. “Jika kami terus bermain seperti hari ini, ia akan membantu kami di pusingan final.”

Reaksi pemain-pemain Paris Saint-German meraikan gol pembukaan hasil jaringan Marquinhos. PSG mara ke pusingan final selepas menundukkan Leipzig 3-0. – AP

Bayern dan Lyon akan bertemu buat kali kedua dalam pusingan separuh akhir hari ini untuk menjadi lawan kepada PSG di perlawanan final pada Ahad. Pasukan Thomas Tuchel merupakan kelab Perancis pertama yang mara ke final sejak Monaco pada 2004.

Sembilan tahun selepas Qatar Sports Investment membeli pasukan dari Ligue 1 dan mula membina pasukan yang sukar digugat di Perancis, kini mereka memerlukan satu perlawanan untuk memenangi trofi yang begitu berharga buat mereka.

“Ia adalah satu impian tetapi saya berharap impian tersebut tidak akan berhenti pada malam ini,” menurut presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.

Terdapat sedikit keraguan bahawa dengan mengadakan perlawanan di Lisbon sedikit membantu. PSG hanya memerlukan untuk bermain 90 minit berbanding bermain dalam dua pusingan bagi kejohanan musim ini, yang terjejas akibat pandemik koronavirus. – AFP