TOKYO, 24 JULAI – Paris Saint Germain (PSG) dan RB Leipzig mencapai perjanjian bagi perpindahan pemain pertahanan kebangsaan Perancis, Nordi Mukiele ke Paris, menurut AFP hari ini daripada sumber terdekat dalam rundingan tersebut.
Kedua-dua pihak komited untuk mencapai perjanjian penuh dan bukan perpindahan pinjaman dengan pilihan untuk membeli.
Kini terpulang kepada pemain berusia 24 tahun itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menandatangani kontrak bersama PSG.
Ketibaan Mukiele di PSG, yang menyertai Leipzig dari Montpellier pada 2018, akan memberikan pilihan alternatif kepada Achraf Hakimi di bahagian bek kanan.
Mukiele – yang boleh bermain dalam sistem tiga pemain pertahanan seperti yang digemari oleh jurulatih baharu PSG, Christophe Galtier – akan menjadi pembelian ketiga buat pasukan juara Perancis selepas menandatangani pemain tengah, Vitinha dan penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike.
Mukiele pernah mewakili pasukan kebangsaan Perancis sekali semasa menjadi pemain gantian dalam kelayakan Piala Dunia menentang Finland pada September 2021.- AFP
