PSG gantung Rabiot hingga hujung bulan

PARIS, 15 Mac – Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Adrien Rabiot digantung sehingga akhir bulan ini kerana dilaporkan berpesta di sebuah kelab malam selepas kelab berkenaan tewas di tangan Manchester United, minggu lalu.

Pemain kebangsaan Perancis itu berselisih faham dengan PSG dan tidak bermain sejak pertengahan Disember lalu selepas enggan bersetuju dengan lanjutan kontrak baharu. Menurut laporan akhbar sukan Perancis, L’Equipe, Rabiot didenda kerana berkunjung ke kelab malam selepas PSG disingkirkan United dalam saingan Liga Juara-Juara.

Tetapi itu bukan satu-satunya alasannya penggantungan berkenaan, Rabiot juga didapati menekan tanda ‘like’ untuk satu video di media sosial yang dimuatnaik Patrice Evra ketika bekas pemain United berkenaan meraikan kemenangan di bangku penonton di Parc des Princes.

“Adrien Rabiot sudah menerima surat penggantungannya,” kata seorang sumber kepada AFP. “Saya dapati tindakan itu sebagai satu sikap yang tidak boleh diterima dan tidak profesional daripada seorang pemain seperti Adrien Rabiot kepada kelab, rakan sepasukannya dan juga penyokong,” kata pengarah sukan PSG, Antero Henrique kepada RMC Sport berhubung isu ke kelab malam itu.

“Dia perlu ingat bahawa sehingga 30 Jun 2019, dia adalah sebahagian daripada skuad kami.”

Dalam pada itu, Rabiot memberitahu Infosport yang bukan dirinya yang memilih situasi berkenaan dan ia bukannya satu keputusan yang dibuat olehnya.

Katanya: “Khidmat saya masih boleh digunakan, semuanya baik, saya berada dalam keadaan yang bagus. Sekiranya saya boleh bermain tetapi pengurusan (kelab) memutuskan sebaliknya.” – AFP

Gambar fail pada 8 Mei 2019 menunjukkan Rabiot semasa beraksi menentang Les Herbiers di Stade de France. Rabiot digantung sehingga akhir bulan ini kerana dilaporkan berseronok di sebuah kelab malam selepas tewas di tangan United. – AFP