PSG juara – Anelka

ISLAMABAD, 6 Mac – Barisan bintang Paris Saint-Germain (PSG), dipimpin oleh pemenang Piala Dunia berusia 20 tahun, Kylian Mbappe, akan menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini, menurut bekas pemain antarabangsa Perancis Nicolas Anelka kepada AFP.

“Saya ada mengatakan sebelum ini, ketika mereka bergelut dalam peringkat kumpulan, bahawa mereka akan memenangi Liga Juara-Juara,” kata Anelka di Islamabad hari ini bagi mempromosikan bola sepak di negara kegilaan kriket, Pakistan.

Selepas permulaan hambar dalam kempen Eropah mereka, dengan pasukan itu berada di kedudukan ketiga di belakang Liverpool dan Napoli dalam Kumpulan C, PSG kemudian menang dua perlawanan terakhir kumpulan untuk mengungguli kumpulan.

Bekas penyerang itu memuji barisan ‘luar biasa’ kelab, yang terdiri daripada bintang Brazil Dani Alves, Thiago Silva dan Neymar; Angel di Maria (Argentina), Edinson Cavani (Uruguay) dan pemenang Pemain Muda Terbaik di Piala Dunia Rusia, Mbappe.

Anelka berkata bagi pendapatnya ia bukanlah ‘satu kejutan’ untuk menyaksikan PSG menang 2-0 di Manchester United dalam perlawanan pertama pusingan 16 tiga minggu lalu, dan memuji Mbappe yang dianggapnya sebagai antara penyerang terbaik dunia.

Anelka, 39, tiba di Pakistan hari ini sebagai sebahagian daripada World Soccer Stars, satu program untuk mengembangkan minat terhadap bola sepak di negara Asia Selatan itu di mana sukan kriket menjadi kegilaan. – AFP