PSG julang Trofi Juara-Juara Perancis

TANGIERS, Maghribi, 30 Julai – Pemain baru ditandatangani, Dani Alves memacu Paris Saint-Germain (PSG) bagi menjulang gelaran sulung musim ini dengan menewaskan Monaco 2-1 pada pentas Trofi Juara-Juara Perancis, awal pagi tadi.

Ia adalah gelaran kelima berturut-turut buat gergasi Perancis itu pada saingan pembukaan musim liga Perancis sekali gus meletakkan mereka kini menyamai rekod kemenangan tujuh kali milik Lyon.

Perlawanan itu dijadikan sebagai misi membalas dendam buat kedua-dua kelab selepas PSG terlepas cengkaman gelaran Ligue 1 kepada Monaco sebelum skuad kendalian Unai Emery bangkit memenangi kejuaraan Piala Liga dengan menewaskan musuhnya itu 4-1.

Di depan kira-kira 45,000 penyokong di sini, aksi lebih dibayangi spekulasi mengaitkan perpindahan Neymar daripada Barcelona ke PSG dan penyerang muda Monaco, Kylian Mbappe ke Real Madrid.

Malah, setiap kali Mbappe, 18, mengawal bola, ia membawa kepada tepukan gemuruh penyokong dengan pembesar suara juga memberi kredit jaringan Djibril Sidibe pada minit ke-30 kepada sensasi muda itu.

Kapten PSG, Thiago Silva (tengah) menjulang trofi Juara-Juara Perancis ketika meraikannya bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Monaco. – AFP
Kapten PSG, Thiago Silva (tengah) menjulang trofi Juara-Juara Perancis ketika meraikannya bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Monaco. – AFP

Namun, Alves yang lebih mencuri tumpuan tatkala dia menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada minit ke-51 sebelum menjadi arkitek kepada ledakan kemenangan Adrien Rabiot 12 minit kemudian.

Alves muncul pemain kedua ditandatangani gergasi Paris itu pada musim panas ini selepas menyertai PSG dengan perjanjian dua tahun selepas enggan menyambung kontrak bersama Juventus.

Mbappe mungkin masih pemain Monaco tetapi dengan penghijrahan pemain seperti Bernardo Silva, Tiémoué Bakayoko, Benjamin Mendy dan Valere Germain menyebabkan Monaco kelihatan kurang bermaya.

“Secara teorinya kami lebih rapuh tetapi saya percaya dengan kemasukan beberapa pemain remaja akan membantu kami,” kata pengendali Monaco, Leonardo Jardim.

Ia terbukti apabila Youri Tielemans, yang baru menyertai daripada Anderlect menjadi penggerak kepada jaringan pembukaan Sidibe dan sayap kiri baharu Terence Kongolo membantu pertahanan dengan baik bagi menyekat gerakan Thomas Meunier dan Alves. – AFP