PSG julang trofi L1 ke-8

PARIS, 19 Mei – Jaringan liga ke-32 Kylian Mbappe musim ini dalam kemenangan 4-0 ke atas Dijon menyaksikan PSG menerima trofi Ligue 1 buat kali kelapan selepas perlawanan tamat.

Pemenang Piala Dunia Perancis Mbappe kembali daripada larangan tiga perlawanan selepas mendapat kad merah pada final Piala Perancis, menjaringkan dua gol untuk menambah jaringannya kepada 32 gol dengan baki satu perlawanan.

Dia adalah pemain Perancis pertama mencapai angka itu sejak Herve Revelli menjaringkan 31 gol untuk Saint-Etienne pada musim 1966/67.

PSG menerima trofi Ligue 1 dengan berlatarbelakangkan letusan bunga api selepas kemenangan itu mengekalkan pendahuluan 16 mata mereka.

Kesudahan pada Sabtu tidak pernah diragukan setelah Angel Di Maria dan Edinson Cavani meletakkan PSG 2-0 di depan dalam empat minit pertama.

Pemain PSG meraikan kejayaan merangkul trofi L1 kelapan selepas perlawanan menentang Dijon di Stadium Parc des Princes di Paris tamat, kelmarin. – AFP

Pemain bola sepak paling mahal di dunia Neymar pula menyaksikan permainan dari tempat duduk sebelum menyertai rakan sepasukan meraikan gelaran di depan peminat mereka di Parc des Princes.

“Kami mahu meninggalkan imej yang baik sebelum akhir musim dengan kualiti yang kami tunjukkan sepanjang kempen,” kata pertahanan PSG, Thilo Kehrer.

“Kami melakukannya dengan menang 4-0. Ia penting bagi penyokong. Ia perasaan yang hebat untuk menjadi juara liga.”

Sementara itu, Monaco memastikan kelangsungan di Ligue 1 dengan kemenangan 2-0 ke atas Amiens selepas Radamel Falcao dan Alexsander Golovin menjaringkan gol pada babak kedua di Stade Louis II untuk memberikan Monaco 36 mata, tiga mata di atas zon penyingkiran dengan baki satu perlawanan.

Juara 2017 itu tidak selamat secara matematik tetapi tiga mata mendahului Caen yang menduduki play-off penyingkiran dengan perbezaan tujuh gol. Guingamp telah tersingkir sementara Dijon terus terasak selepas tewas 4-0 kepada PSG. – AFP