PSG kejar Lille di puncak

PARIS, 19 APRIL – Mauro Icardi (gambar) membawa Paris Saint-Germain (PSG) hanya satu mata kurang daripada pendahulu Ligue 1, Lille semalam menerusi golnya bagi memberikan kemenangan 3-2 ke atas Saint-Etienne ketika Monaco dan Lyon juga mempunyai harapan meraih gelaran liga.

Juara bertahan itu mengurangkan jurang dengan Lille yang sekadar seri 1-1 berdepan Montpellier Jumaat lalu.

Monaco ketinggalan satu mata di kedudukan ketiga selepas mengatasi Bordeaux 3-0 manakala Lyon tiga mata di belakang Lille hasil kemenangan 2-1 menentang Nantes.

Di Parc des Princes, Kylian Mbappe meledakkan dua gol untuk meletakkan PSG di depan selepas pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol awal menerusi Denis Bouanga pada minit ke-78 yang menerima hantaran lintang daripada Miguel Trauco.

Romain Hamouma hampir mampu memberikan mata berharga buat Saint-Etienne dalam tempoh dua minit masa tambahan dengan jaringan gol mudah.

Bagaimanapun Icardi yang menemui hantaran lintang daripada Angel Di Maria menanduk gol kemenangan PSG tiga minit selepas itu.

“Kami sendiri membawa pasukan berdepan masalah. Apabila anda mendahului 2-1 seperti itu anda perlu mempertahankan kelebihan yang ada,” kata Mbappe.

“Gelaran liga sangat penting buat kami. Ia akan menjadi gelaran ke-10 buat kelab dan kami mahu menjadi sebahagian sejarah.” – AFP