PSG lonjak ke tangga teratas tanpa Pochettino

PARIS, 17 JAN – Jaringan tunggal oleh Layvin Kurzawa sudah cukup memadai buat Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Angers 1-0 semalam sekali gus naik ke tangga teratas Ligue 1 di sebalik ketiadaan jurulatih mereka Mauricio Pochettino kerana disahkan positif COVID-19 sebelum perlawanan bermula.

Kurzawa menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 20 minit di Stade Raymond Kopa untuk membawa PSG ke puncak liga dengan kelebihan dua mata berbanding Lyon yang berpeluang merampas semula kedudukan teratas jika mereka menewaskan Metz esok.

Penolong jurulatih PSG, Jesus Perez dan Miguel D’Agostino mengambil alih tugas Pochettino yang kini menjalani proses pengasingan diri.

Beliau disahkan positif sejurus selepas tiga pemain PSG, Rafinha, Thilo Kehrer dan pemain antarabangsa bawah 21 tahun, Colin Dagba disahkan positif pada minggu lalu.

“Ia adalah perlawanan yang sukar. Angers sebuah pasukan yang tersusun,” kata Perez yang bekerja bersama Pochettino di Espanyol, Southampton dan Tottenham Hotspur.

Reaksi pasukan PSG ketika meraikan jaringan gol semasa perlawanan Ligue 1 antara Angers dan PSG di Stadium Jean-Bouin, semalam. – AP

“Kami berhubung bersama Mauricio. Dia bercakap bersama pemain menerusi panggilan video di hotel.

“Kami bercakap sebelum perlawanan, separuh masa pertama dan selepas perlawanan. Kami akan sentiasa berhubung antara satu sama lain sepanjang minggu.

“Kami sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan ketika sesi latihan. Sudah pasti situasi tidak sama tanpanya tetapi kami sudah bekerjasama selama lapa tahun, jadi kami tahu apa yang perlu dilakukan.”

Neymar kembali ke kesebelasan utama buat pertama kalinya sejak mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam kekalahan menentang Lyon sebulan yang lalu dengan Kylian Mbappe dan Angel di Maria juga bermula di posisi serangan dan ia adalah barisan pemain PSG yang kuat tetapi mereka kelihatan hebat melawan pasukan Angers yang berada di tempat ketujuh.

Pasukan tuan rumah hampir mendahului perlawanan apabila tandukan Lois Diony dari jarak dekat diselamatkan dengan baik oleh Keylor Navas. – AFP