MONTPELLIER, 13 MEI – Paris Saint-Germain berjaya menundukkan Montpellier menerusi penentuan penalti 6-5 dalam saingan Piala Perancis peringkat separuh akhir kelmarin untuk meneruskan impian mereka mengakhiri musim ini dengan memenangi trofi.
Perlawanan diheret ke penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 apabila masa perlawanan sebenar tamat di Montpellier.
Pasukan juara bertahan akan mengetahui lawan mereka pada Khamis di Stade de France minggu hadapan, dengan pasukan liga keempat, Rumily-Vallieres bertemu Monaco di saingan separuh akhir kedua.
“Ia adalah perlawanan piala sebenar, tidak pernah mudah,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.
PSG meledak gol pertama pada awal perlawanan menerusi Kylian Mbappe pada minit ke-10. Montpellier berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan Gaetan Laborde pada penghujung separuh masa pertama.

Mbappe kembali meletakkan PSG di hadapan selepas perlawanan bersambung.
Tetapi ketika perlawanan seakan berakhir dengan kemenangan buat PSG, penyerang kelahiran Algeria, Andy Delort menyumbat gol penyamaan dengan perlawanan berbaki tujuh minit untuk memaksa perlawanan ke penentuan penalti.
Semasa keputusan terikat 5-5, Junior Sambia menghantar bola terlalu tinggi dan membolehkan Moise Kean membawa PSG ke final.
Piala Perancis bertambah penting buat pasukan Pochettino di mana ia mungkin menjadi peluang terbaik mereka mengakhiri musim ini dengan trofi.
Dominasi mereka di Ligue 1 semakin terancam setelah ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Lille dengan berbaki dua perlawanan, berikutan penyingkiran mereka dari Liga Juara-Juara di peringkat separuh akhir.
Pochettino berkata dia tidak risau mengenai keputusan akhir, tetapi ‘lebih bimbang – terlalu banyak peluang, ia menjadi semakin mengecewakan, kami melakukan segala-galanya untuk mara ke final’.
Neymar berada di bangku simpanan, penyerang Brazil itu diturunkan pada akhir perlawanan dan berjaya menyempurnakan sepakan penalti namun turut dilayangkan kad kuning. – AFP