PSG mara ke pusingan separuh akhir UCL

LISBON, 13 OGOS – Paris Saint-Germain (PSG) berjaya mencatat kemenangan dramatik selepas pemain gantian, Eric Choupo-Moting menjaringkan gol tiga minit dalam masa tambahan untuk membolehkan mereka menewaskan Atalanta 2-1 dalam pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon kelmarin.

Atalanta nyaris meneruskan cabaran memasuki pusingan separuh akhir selepas Mario Pasalic meletakkan kelab Itali itu di hadapan pada minit ke-27 dalam perlawanan pertama ‘Lapan Terakhir’ di Estadio da Luz tanpa kehadiran penonton.

Tetapi PSG terselamat dari disingkirkan selepas Marquinhos mara ke hadapan dan menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan dan mereka tidak memerlukan bermain pada masa tambahan untuk menukar kedudukan dengan Kylian Mbappe membuat hantaran kepada Choupo-Moting yang baru dimasukkan untuk menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir.

“Semasa saya dimasukkan, saya berkata kepada diri saya ‘kita tidak boleh tewas, kita tidak boleh pulang dengan kedudukan begini,’ selebihnya adalah apa yang telah terjadi,” menurut Choupo-Moting, yang telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua bulan untuk mengekalkannya di PSG bagi ‘Lapan Terakhir’ selepas perjanjiannya mansuh pada Jun lalu.

Juara Perancis itu telah dihadiahkan tempat di suku akhir dalam kejohanan elit Eropah buat kali pertama sejak 1995.

Ini adalah kali pertama PSG mara ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara sejak kelab diambil alih oleh ahli perniagaan dari Qatar hampir sedekad yang lalu dan pelaburan besar telah membuahkan hasil.

“Pulang dengan tangan kosong tidak pernah terlintas dalam fikiran saya,” kata Neymar. – AP

Reaksi Eric Choupo-Moting meraikan gol kemenangan pada saat akhir perlawanan ketika menentang Atalanta di Estadio da Luz.- AP