PSG, Messi ingin dendam kekalahan di tangan Marseille

PARIS, 22 OKT – Lionel Messi akan beraksi buat kali pertama dalam saingan terbesar dalam bola sepak Perancis hujung minggu ini ketika pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain akan berkunjung ke Marseille pada Ahad ini.

Beberapa jam selepas pasukan lama Messi, Barcelona menentang Real Madrid dalam Clasico, pemain Argentina itu akan turun beraksi di Velodrome dalam perlawanan yang dikenali sebagai ‘Le Classique’.

Ia merupakan persaingan yang berkembang pada awal tahun 1990-an, apabila Marseille mendominasi bola sepak Perancis dan untuk seketika, di Eropah.

Sejak kebelakangan ini, PSG yang dimiliki oleh pemilik dari Qatar menguasai liga Perancis, walaupun mereka terlepas gelaran Ligue 1 musim lalu kepada Lille dan prestasi mereka dalam kempen ini kurang meyakinkan.

Mereka berjaya memenangi tujuh daripada lapan pertemuan terakhir di semua pertandingan dan kalah sekali menentang OM dalam dekad terakhir.

Kekalahan 1-0 di Paris itu berlaku di stadium yang hampir kosong pada permulaan musim lalu berikutan pandemik COVID-19. Namun kali ini peminat dibenarkan kembali ke Velodrom dan PSG menyasarkan untuk melanjutkan kelebihan 10 mata ke atas Marseille, yang berada di tempat ketiga dan mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Messi menjaringkan dua gol untuk PSG dalam kemenangan 3-2 mereka ke atas RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Ketiga-tiga golnya bersama PSG dilakukan di pentas Eropah. Sememangnya dia telah lebih banyak bermain dalam Liga Juara-Juara berbanding Ligue 1.

Kylian Mbappe, yang menjaringkan satu lagi gol menentang Leipzig, telah menjadi pemain utama untuk pasukan Mauricio Pochettiono pada musim ini, manakala Neymar masih dalam proses pemulihan. – AFP

Reaksi pemain PSG, Lionel Messi meraikan ketika menjaringkan gol dalam perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig di stadium Parc des Princes pada 19 Oktober. – AFP