PSG pecat Tuchel

PARIS, 24 DIS – Paris Saint-Germain telah memecat jurulatih mereka, Thomas Tuchel dan bekas pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino disebut sebagai penggantinya, menurut laporan beberapa sumber hari ini.

Pasukan juara Perancis tersebut enggan membuat sebarang komen apabila ditanya oleh AFP untuk mengesahkan laporan yang dibuat oleh akhbar L’Equipe dan RMC serta akhbar Jerman, Bild.

Pengurus Jerman berusia 47 tahun itu tiba di Parc des Princes menerusi kontrak selama dua tahun pada 2018 dan membawa PSG ke peringkat final kali pertama di Liga Juara-Juara musim lalu.

Tetapi kini, jika laporan mengesahkan, kurang dari tiga bulan selepas aksi final menentang Bayern Munich di Lisbon, Tuchel akan menjadi pengurus PSG pertama yang meninggalkan kelab semasa pertengahan musim sejak Antoine Kombouare yang digantikan oleh Carlo Ancelotti pada Disember 2011.

Pochettino meninggalkan Tottenham pada November 2019, enam bulan selepas membawa mereka ke final Liga Juara-Juara kali pertama. Musim ini, Tuchel memimpin PSG mara ke pusingan kelompok 16 terakhir yang akan bertemu Barcelona di Liga Juara-Juara, sementara di liga domestik, mereka berada satu mata di belakang pasukan pendahulu Ligue 1. – AFP