Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    PSG rampas kedudukan teratas Ligue 1

    PARIS, 4 SEPT – Kylian Mbappe menjaringkan gol pada setiap babak ketika Paris Saint-Germain menewaskan pasukan 10 pemain Nantes 3-0 pada hari Sabtu untuk merampas semula kedudukan teratas dalam carta Ligue 1.

    PSG telah menyaksikan Marseille mendahului mereka di tangga teratas dengan menewaskan Auxerre 2-0 sebelum ini, tetapi kemenangan selesa untuk pasukan Christophe Galtier di Stade de la Beaujoire bermakna mereka menduduki puncak sekali lagi
    dengan perbezaan gol yang jauh lebih baik.

    Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-18 dengan rembatan padu yang melencong masuk ke gawang dan menumpaskan penjaga gol Alban Lafont selepas hasil kerja keras Lionel Messi.

    Nantes telah menewaskan PSG di tempat sendiri dalam perlawanan musim lalu tetapi harapan mereka untuk meraih kemenangan daripada penyandang juara kali ini amat tipis apabila pemain pertahanan Brazil, Fabio dibuang padang pada pertengahan babak pertama.

    Bekas pertahanan Manchester United itu dilayangkan kad merah kerana melakukan cabaran tinggi di bahagian tengah ke atas Vitinha yang menyebabkan pemain Portugal itu mengalami kecederaan.

    PSG menjaringkan gol sekali lagi sejurus selepas separuh masa ketika Messi menyiapkan Mbappe untuk menamatkan saingan di gawang terdekat, dengan gol pada mulanya dibatalkan kerana ofsaid selepas pemeriksaan VAR.

    PSG, yang telah menjaringkan 28 gol dalam tujuh perlawanan kompetitif musim ini, memulakan bidaan terbaharu mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara di laman sendiri menentang Juventus pada hari Selasa. – AFP

    Reaksi Kylian Mbappe semasa perlawanan bola sepak L1 Perancis antara FC Nantes dan Paris Saint-Germain (PSG) di Stade de la Beaujoire–Louis Fonteneau di Nantes, barat Perancis, pada 3 September 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...