PSG risau tanpa Neymar, Mbappe

PARIS, 22 Nov- Pemain penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan Kylian Mbappe bergelut untuk pulih dari kecederaan bagi persaingan penting Liga Juara-Juara bertemu Liverpool, menurut kelab dari Perancis itu semalam.

PSG berkata imbasan yang dilakukan menunjukkan Neymar mengalami kekejangan otot di bahagian groin dalam kemenangan pasukan Brazil 1-0 menentang Cameroon dalam perlawanan persahabatan pada Selasa lalu.

Sementara Mbappe mengalami cedera di bahagian bahu selepas rebah dalam kemenangan pasukan Perancis 1-0 ke atas Uruguay dalam perlawanan yang diadakan di Stade de France.

“Tempoh 48 jam bagi rawatan akan digunakan bagi menilai kedudukan klinikal mereka,” kata PSG.

Ia telah dijangkakan bahawa kedua pemain itu mungkin tidak akan beraksi dalam perlawanan Ligue 1 bersama PSG menentang Toulouse, Sabtu ini, tetapi sasaran sebenar mereka adalah perlawanan Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis depan menentang Liverpool di Parc des Princes.

Mbappe (kiri) meninggalkan padang selepas tercedera di bahagian bahu semasa perlawanan persahabatan antara Perancis dan Uruguay pada 20 November lalu. – AFP

Kesemua empat pasukan masih boleh layak bagi fasa kalah mati liga itu dari Kumpulan C.

Manakala, Liverpool memiliki jumlah mata yang sama seperti pasukan pendahulu, Napoli, sementara PSG di tangga ketiga, satu mata di belakang Liverpool dan satu mata di depan Red Star Belgrade.

Neymar bagaimanapun menyampaikan mesej di Instagram bahawa “Ia (ce-dera itu) tidaklah begitu serius.”

Dalam perlawanan pagi Rabu lalu, pemain penyerang Brazil itu menerima rawatan bagi masalah groin selepas hanya lima minit dan rebah sejurus selepas menerima ejekan dari penonton di bandar tengah Inggeris, Milton Keynes.

Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar juga berkata pemain yang bernilai 222 juta euro tidak dilihat mengalami masalah serius. “Dia merasa tidak selesa,” kata Lasmar. “Dia memerlukan sedikit masa untuk menilainya dan melakukan imbasan, tetapi pada dasarnya ia bukanlah kecederaan yang serius.”

Pemain yang mengantikan Neymar, Richarlison menjadi wira Brazil selepas menjaringkan gol kemenangan pasukan itu. Manakala, di Paris, Mbappe mengalami kecederaan bahu ketika dia merebut bola bersama penjaga gol Uruguay, Martin Campana, dalam kemenangan pasukan Piala Dunia itu.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata Mbappe, pemain penyerang berusia 19 tahun yang terkenal pada Piala Dunia, ‘mengalami kesakitan bahu selepas jatuh’. Perancis memenangi perlawanan itu melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Oliver Giroud. – AFP