PARIS, 13 April – Paris Saint-Germain (PSG) akan merampas semula gelaran Perancis jika mereka menewaskan juara bertahan dan pasukan di kedudukan kedua ketika ini, Monaco di Parc des Princes dalam saingan Ligue 1 hujung minggu ini.
Gergasi Paris itu mendahului Monaco dengan 14 mata dengan baki enam perlawanan, bermakna mereka di ambang bagi gelaran kelima dalam enam musim, meskipun terpaksa mengharungi baki musim tanpa Neymar yang cedera.
Neymar kini berada di tanah airnya bagi pemulihan selepas pembedahan kaki dan PSG berharap penyerang Brazil itu kembali sebelum akhir musim.
Tetapi mereka mungkin sudah bergelar juara sebelum mana-mana tarikh kembali pemain termahal dunia itu, dan menewaskan Monaco adalah cara yang sempurna untuk memastikannya berlaku.
Ia hampir setahun selepas Monaco menamatkan kempen dengan kelebihan lapan mata di depan PSG, yang juga menyaksikan mereka mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
“Sedar bahawa kami boleh menjadi juara di laman sendiri, menentang pesaing utama kami musim lepas dan pasukan yang telah merampas kejuaraan daripada kami musim lepas, adalah satu detik yang menarik,” kata Marquinhos kepada PSG TV.
Kempen PSG telah dibayangi dengan kekalahan kepada Real Madrid dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, tetapi mereka dalam laluan mendominasi trofi-trofi domestik.
Skuad Unai Emery mempunyai rekod 100 peratus di laman sendiri dan jika mereka mampu mengekalkannya, mereka boleh meraikan gelaran ketujuh dalam sejarah mereka hujung minggu ini.
PSG telah memenangi lima pertembungan terakhir mereka dengan skuad Leonardo Jardim, termasuk kemenangan 3-0 pada final Piala Liga, apabila Kylian Mbappe berhadapan dengan bekas kelabnya. – AFP