Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG setuju 180 juta Mbappe

    PARIS, 28 Ogos – Pemain sensasi remaja Monaco, Kylian Mbappe (gambar) dijangka akan melengkapkan perpindahan mengejut ke Paris Saint-Germain apabila dia berada di ibu negara Perancis itu hari ini, menurut laporan media Perancis yang tersebar semalam.

    Stesen radio, France Info dan RMC melaporkan bahawa PSG telah bersetuju untuk membayar 180 juta euro (AS$215 juta) termasuk bonus bagi pemain penyerang antarabangsa Perancis berusia 18 tahun itu.

    Ia akan menjadikannya pertukaran kedua termahal dalam sejarah bola sepak di belakang Neymar, yang menyertai PSG dari Barcelona bagi 222 juta euro awal bulan ini.

    Bagaimanapun, kebimbangan mengenai mesyuarat Financial Fair Play (FFP) UEFA, bermakna PSG mungkin akan menandatangani Mbappe secara pinjaman, menurut harian sukan, L’Equipe.

    “Monaco dan PSG semalam mencapai persetujuan bagi perpindahan dalam pinjaman bagi Kylian Mbappe ke kelab Parisian itu dengan pilihan untuk membeli dengan nilai 180 juta euro,” kata L’Equippe, yang menambah bahawa Mbappe akan menjalani pemeriksaan perubatan pada pagi ini.

    Mbappe dijadualkan meninggalkan Monaco pagi ini bersama pemain sayap Monaco, Thomas Lemar dan berlepas ke Paris dalam laluannya untuk bergabung bersama skuad kebangsaan Perancis.

    Pasukan Perancis akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Belanda di Stade de France pada Khamis ini dan perlawanan menentang Luxembourg di Toulouse hujung minggu depan.

    Jurulatih Perancis, Didier Deschamps minggu lalu menegaskan apabila dia menamakan skuadnya bahawa tidak seorang pun pemain akan meninggalkan kem pasukan kebangsaan di Clairefontaine, sekitar 50 kilometer ke selatan Paris, untuk melengkapkan pertukaran.

    Dengan jendela pertukaran ditutup pada Khamis ini, ia bermakna Mbappe dijadualkan untuk melengkapkan perpindahan tersebut hari ini, membolehkannya untuk bergabung bersama Neymar dan Edinson Cavani dalam jentera serangan PSG selepas rehat antarabangsa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda