PARIS, 27 SEPT – Paris Saint-Germain (PSG) dilihat mahu mengubati kekecewaan tewas di laman sendiri dengan berkunjung ke Bordeaux hujung minggu ini, di mana Kylian Mbappe mungkin kembali selepas sebulan diketepikan kerana cedera.
Skuad kendalian Thomas Tuchel, terjejas akibat kecederaan, kecundang 2-0 kepada Reims kelmarin, yang menamatkan rentetan 22 perlawanan tanpa tewas di Parc des Princes.
Ia merupakan kekalahan pertama PSG di laman sendiri sejak November 2012.
“Ia adalah persembahan hambar. Kami kehilangan ramai pemain, sebab itu saya membuat banyak pertukaran,” kata Tuchel.
Walau bagaimanapun PSG kekal di persada Ligue 1 dengan perbezaan jaringan, berkongsi mata dengan pasukan di kedudukan kedua, Angers, namun pemain pertahanan Marquinhos berkata mereka perlu mengejar konsistensi untuk melebarkan jurang mereka.
“Cabaran musim ini adalah mengekalkan permainan di tahap tertinggi dalam setiap perlawanan. Kami perlu mengaspirasikan diri kami untuk menyahut cabaran ini,” tambahnya. – AFP