OSAKA, JEPUN, 26 JULAI – Jurulatih baharu Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier berkata bahawa pasukannya dibolosi ‘terlalu banyak gol’ meskipun Lionel Messi dan Neymar berganding bahu untuk membenam Gamba Osaka 6-2 kelmarin.
Neymar menjaringkan dua gol dan Messi menjaringkan satu gol ketika PSG melengkapkan perjalanan pramusim mereka ke Jepun dengan kemenangan ketiga dalam semua perlawanan.
Juara Perancis itu seterusnya akan berkunjung ke Israel bagi menentang Nantes dalam Piala Super Perancis di Tel Aviv pada 31 Julai nanti.
Galtier, yang mengendalikan skuad penuh buat kali pertama sejak menyertai PSG dari Nice pada musim panas ini, berkata, menentang pasukan J-League pada pertengahan musim domestik telah memaksa pasukannya untuk meningkatkan lagi tahap fizikal mereka.
Dalam aksi kelmarin, bintang penyerang PSG, Neymar dan Messi, kedua-duanya bermain selama 70 minit pembukaan menentang Gamba.
Neymar menjaringkan sepakan penalti pada separuh masa pertama sebelum memberikan assist untuk rakan sepasukannya dari Argentina, Messi.
Neymar sekali lagi beraksi lincah pada separuh masa kedua untuk menjaringkan gol keduanya pada minit ke-60.
Kylian Mbappe turut mencatat namanya dalam senarai penjaring dengan sepakan penalti lewat.
Sementara itu, Pablo Sarabia membuka tirai jaringan pada minit ke-28 dan Nuno Mendes menyumbang gol keempat PSG pada minit ke-37.
Walau bagaimanapun, Galtier masih kelihatan bimbang dengan cara pasukannya dibolosi dua gol kepada Gamba, yang berada di tangga ke-16 dalam ja-dual 18 pasukan Liga-J.
PSG sebelum ini menewaskan Kawasaki Frontale 2-1 dalam perlawanan pertama mereka pada Rabu lalu sebelum menundukkan Urawa Reds 3-0 tiga hari kemudian. – AFP