ORLANDO, 23 Julai – Penalti di saat-saat akhir Hary Kane telah membantu Tottenham Hotspur memulakan persiapan pra musim mereka dengan baik apabila menyaksikan Paris Saint-Germain tersungkur di Orlando.
PSG telah dikurangkan kepada 10 pemain tidak lama memasuki separuh masa kedua apabila penjaga gol Jerman, Kevin Trapp, yang mengalami 45 minit yang teruk, telah dibuang padang selepas memegang bola di luar petak.
Meskipun skuad Unai Emery sukar untuk dirobohkan, jaringan lewat pemain pertahanan dari Belgium, Toby Alderweireld dan Kane, keduanya sebagai pemain gantian, memastikan kemenangan 4-2 di depan 33,332 penyokong di Stadium Camping World.
Ia masih awal dalam pra musim, namun ia sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kelab London itu mahu menghasilkan kempen kuat dalam Liga Perdana musim depan.
Kedua pasukan tiba di stadium tersebut dengan diselebungi urus niaga perpindahan yang masih belum selesai musim panas ini.

PSG telah dilaporkan mahu membawa masuk Neymar dari Barcelona dengan rekod perpindahan dunia mencapai 222 juta euro, dan juga tetap yakin untuk mendapatkan penyerang Arsenal, Alexis Sanchez.
Namun Emery tidak mendedahkan apa-apa ketika ditanya mengenai potensi perpindahan.
“Kami selalu mencari pemain-pemain yang boleh membantu pasukan,” katanya.
“Kini apa yang penting untuk kami adalah fokus pada perlawanan-perlawanan yang hendak diharungi,” tambah jurulatih itu.
Sementara itu Spurs, sekali lagi perlu bersaing untuk mengekalkan Eric Dier, yang menjadi subjek bagi bidaan AS$50 juta dari Manchester United. – AFP