PSG tersungkur tanpa pemain bintang

LENS, PERANCIS, 11 SEPT – Paris Saint-Germain (PSG) memulakan musim mereka dengan keputusan yang teruk semalam ketika pasukan mereka berdepan kekurangan pemain bintang akibat dijangkiti COVID-19, kalah 1-0 ke atas Lens yang baharu dinaikkan ke liga.

PSG memulakan perlawanan pertama musim baharu tanpa tujuh pemain bintang mereka yang telah disahkan positif COVID-19, termasuk Neymar dan Kylian Mbappe.

Mereka memulakan perlawanan dengan penjaga gawang pilihan ketiga mereka, Marcin Bulka dan pemain berusia 20 tahun itu memberikan kemenangan kepada Lens selepas melakukan kesilapan besar pada minit ke-11 perlawanan selepas rehat.

Bermain di bawah tekanan dari bahagian belakang, Bulka melakukan hantaran lemah ke arah Marci Verratti yang ditepis oleh Ignatius Ganago, sekali gus menjaringkan gol kemenangan dari jarak dekat.

Serangan itu adalah gol pertama buat pemain antarabangsa Cameroon itu untuk kelab baharunya setelah menandatangani kontrak dari Nice pada bulan Julai lalu dan menggembirakan 3,800 penyokong yang hadir di Stadium Stade Bollaert-Delelis.

Aksi pemain tengah Congo Lens, Gael Kakuta (kiri) bergelut mendapatkan bola dengan pemain tengah PSG, Marco Verratti semasa perlawanan antara Racing Club de Lens dan PSG di Felix Bollaert, Stadium Delelis di Lens, semalam. – AFP

“Saya sangat gembira. Rasanya senang menjaringkan gol pertama saya dan saya berharap dapat menjaringkan lebih banyak gol,” kata Ganago, 21 tahun.

“Walaupun tanpa Neymar atau Mbappe, PSG mempunyai pasukan yang sangat baik. Kami kuat, mantap, kami semua bekerjasama dan akhirnya membuahkan hasil.”

COVID-19 telah menimbulkan kegusaran kepada jurulatih PSG, Thomas Tuchel, dengan Angel Di Maria dan Leandro Paredes juga disahkan positif.

PSG mengesahkan tiga lagi kes baharu dengan penyerang dari Argentina, Mauro Icardi, pemain pertahanan Brazil, Marquinhos dan penjaga gawang, Keylor Navas.

Mereka semua dijangkiti virus itu setelah bercuti di Ibiza selepas tewas di final Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Lisbon bulan lalu.

Mbappe disahkan positif ketika berlatih bersama pasukan antarabangsa Perancis pada awal minggu ini, memaksa pemain kedua termahal di dunia itu diketepikan menentang Croatia. – AFP