Friday, June 2, 2023
23.6 C
Brunei

    -

    PSG tewas, Hakimi dibuang padang

    PARIS, 1 MEI – Pendahuluan Paris Saint-Germain di puncak Ligue 1 berkurangan kepada lima mata kelmarin selepas Achraf Hakimi dibuang padang dalam kekalahan 3-1 di tempat sendiri kepada Lorient manakala pesaing terdekat, Marseille menewaskan Auxerre 2-1.

    Lorient pada kedudukan tengah liga sudah unggul menerusi jaringan awal Enzo Le Fee di Parc des Princes sebelum Hakimi dilayangkan kad kuning kedua dalam 20 minit pembukaan.

    Kylian Mbappe menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah dengan cara yang tidak terduga, menjaringkan gol selepas penjaga gol Lorient, Yvon Mvogo tersalah membaling bola, menyangka pengadil telah meniup wisel untuk sepakan percuma.

    Namun Lorient sepatutnya mendahului semula sebelum separuh masa apabila Darlin Yongwa menyempurnakan gol dari jarak dekat, dan mereka memastikan kemenangan lewat apabila Bamba Dieng berlari tanpa dicabar untuk menjaringkan gol pada percubaan kedua selepas Gianluigi Donnarumma menepis rembatannya.

    Wisel penamat perlawanan disambut dengan cemuhan dari penyokong tuan rumah di stadium yang sebahagiannya ditutup sebagai hukuman selepas penyokong melepaskan suar semasa kekalahan kepada Lyon baru-baru ini. Ia merupakan kekalahan keenam PSG dalam Ligue 1 pada 2023 dan membenarkan Marseille mendekatkan jurang, menimbulkan keraguan baharu terhadap usaha kelab ibu kota itu untuk memenangi kejuaraan liga ke-11 Perancis. – AFP

    Aksi Lionel Messi (kanan) berdepan Bamo Meite dari Lorient semasa perlawanan bola sepak Ligue 1 Perancis, di stadium Parc des Princes di Paris, 30 April. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS, Jepun modenkan pakatan tentera

    TOKYO, 1 JUN – Amerika Syarikat (AS) dan Jepun sedang berusaha untuk memodenkan pakatan ketenteraan mereka dalam menghadapi ancaman dari China, Korea Utara dan...
    - Advertisment -