Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 9 Ogos – Sebagai usaha untuk memaklumkan kepada orang ramai bagaimana penyusuan susu ibu berkait rapat dengan pemakanan, kebolehdapatan makanan dan pengurangan kadar kemiskinan, Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) Sedunia 2018 Peringkat Daerah Belait telah diadakan di Lobi Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Hospital Suri Seri Begawan (SSB) di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah isteri Menteri Kesihatan, Datin Dr Noraslina binti Haji Ramlee.
Pengerusi majlis, Dr Hajah Riamiza Matalie binti Haji Momin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa Minggu PSI Sedunia disambut setiap Ogos dan lazimnya akan disambut di keempat-empat daerah di negara ini.
Tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Penyusuan Susu Ibu Asas Kehidupan’ dan dalam menghuraikan konteks amalan penyusuan susu ibu, Dr Hajah Riamiza Matalie berkata, ia merupakan jawapan universal yang memberikan semua insan peluang permulaan hidup yang adil serta menjadi kepada kehidupan yang sihat dan kelangsungan hidup yang baik bagi anak damit dan ibu-ibu.
“Penyusuan susu ibu membantu mencegah kekurangan zat makanan dalam semua bentuk, memastikan kebolehandapatan makanan untuk anak-anak damit dan kanak-kanak dan dengan itu, membantu membebaskan manusia dan negara-negara daripada belenggu kemiskinan, malah boleh dikatakan melindungi, menggalakkan dan mendukung penyusuan susu ibu adalah mustahak untuk dunia yang lebih mampan.”


Beliau menambah, dengan menghayati maksud sambutan ini, ia membuktikan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan sebagai agensi penggerak utama dalam mengukuhkan inisiatif-inisiatif ke arah melindungi, mempromosi dan mendukung amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif.
Tindakan itu adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) seperti yang terkandung di dalam ‘The Global Strategy of Infant and Young Child Feeding’ (2002) sekali gus melaksanakan Dasar Penyusuan Susu Ibu selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun di samping pemberian makanan tambahan mulai umur enam bulan.
“Sehubungan dengan itu, perisian utama majlis ini adalah penyampaian cenderamata kepada ibu-ibu yang telah berjaya memberikan penyusuan susu ibu kepada anak damitnya secara eksklusif selama enam bulan,” ujarnya.
Salah satu objektif Minggu PSI Sedunia adalah bagi melibatkan individu dan organisasi untuk memberi impak yang lebih besar, selain itu, ia juga mengambil kesempatan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu (HAWA) yang telah bekerjasama rapat dengan Hospital SSB, Kuala Belait dalam melaksanakan kegiatan promosi pengamalannya.
Tema Sambutan Minggu PSI Sedunia tahun ini menekankan kepentingan penyusuan susu ibu sebagai amalan mapan dan sihat untuk memastikan setiap anak mempunyai permulaan terbaik dalam kehidupan, pelbagai sektor digalakkan untuk bekerjasama dalam melindungi, mempromosi dan menyokong PSI demi meraih kebaikan bersama, serta membuahkan hasil yang mampan dengan impak yang jauh lebih besar daripada usaha seseorang individu.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, disusuli dengan bacaan Al-Quran oleh pelajar Sekolah Arab Belait dan acara kemuncak adalah penyampaian cenderamata kepada ibu-ibu yang memberikan penyusuan ibu kepada anak damit secara eksklusif selama enam bulan, penyampaian ‘nursing cover’ kepada ibu-ibu mengandung serta penyampaian sijil lantikan dan plak penghargaan kepada pengerusi HAWA yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan perkongsian pengalaman daripada wakil Kumpulan HAWA dan diakhiri dengan menyaksikan pameran. Turut hadir ialah pengarah-pengarah, pegawai dan kakitangan di Hospital SSB, Kuala Belait.