PSJD muncul juara bola sepak 9-sepasukan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – PSJD muncul juara di Kejohanan Bolasepak Veteran 9-sepasukan yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Kampung Setia A selepas menewaskan AH United 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun baru-baru ini.

Pasukan dari Daerah Tutong tersebut berjaya mendahului perlawanan 2-0 menerusi jaringan Haji Sharifu Bahrin bin Haji Zainal dan Nuradi bin Tujoh sebelum AH United menjaring gol menerusi Fazri bin Jumat.

TJ muncul sebagai juara bagi Kumpulan ‘B’ sementara PSJD sebagai naib juara. AH United yang berjaya mara ke pusingan seterusnya dengan rekod tanpa kalah menjadi johan bagi Kumpulan ‘C’.

Kejohanan ini pertama kali dianjurkan sejak penubuhan Persatuan Bolasepak Kampung Setia A tahun ini dan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kedua-dua pemain veteran dan pemain muda. Pertandingan itu terhad kepada 24 pasukan sahaja, setiap pasukan mesti menurunkan dua pemain veteran yang berusia 50 tahun ke atas, manakala lima pemain antara umur 45 dan 49 dan dua pemain berusia di antara 40 dan 44 tahun.

Kejohanan itu dijalankan mengikut peraturan tempatan yang biasa digunakan dalam perlawanan sembilan sepasukan di negara ini.

Sebanyak 18 pasukan yang turut serta dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan dua pasukan teratas mara ke pusingan seterusnya. Kejohanan bolasepak 9-sepasukan ini berbeza daripada pertandingan 11 sepasukan kerana peraturan ofsaid tidak digunakan.

Pemenang-pemenang bagi setiap kumpulan bergambar ramai. –Gambar oleh Persatuan Bolasepak Kampung Setia A.