Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Tiga buah sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) berjaya mencapai 100 peratus lulus dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2016.
Ketiga-tiga sekolah berkenaan adalah Sekolah PGGMB Sungai Akar, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak dan Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kuala Belait, manakala itu, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Madang telah berjaya mencapai 90 peratus lulus.
Daripada 105 orang calon, seramai 27 orang pelajar berjaya memperoleh 5A. Sekolah PGGMB mencapai 98 peratus lulus gred A hingga C dalam kelima-lima mata pelajaran menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Inggeris, Sains dan MIB.
Sempena dengan pencapaian itu, Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang PSR 2016 telah diadakan di Tingkat 5, Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Haji Ahad.
Majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajar Tunas Harapan PGGMB 2016 kepada dua orang pelajar iaitu Awang Mohammad Faiz bin Haji Ariffin dari Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak dan Dayang Nur Amira Safura binti Awang Adam dari Sekolah PGGMB Sungai Akar.
Tahun ini, PGGMB menerima kemasukan seramai 210 orang pelajar baru di keempat-empat cawangan sekolah PGGMB.


































