PSW anjur Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Persatuan Siswazah Wanita (PSW) baru-baru ini, telah menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Majlis yang diadakan secara maya itu disertai oleh Yang Dipertua PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Pada majlis itu, laungan Dikir Syarafil Anam dan marhaban beramai-ramai yang diketuai oleh Pengiran Razmahayati binti Pengiran Haji Mahmud menyerikan majlis yang diikuti dengan bacaan Doa Dikir oleh Dayang Nur Aizat Yatimi binti Haji Sahari. Sementara itu, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Dayang Zeliha binti Haji Mohamad Ali manakala doa penutup dibacakan oleh Hajah Hasni binti Zaini.

Dengan adanya majlis yang dibuat secara maya itu, semoga Baginda Raja Isteri dilanjutkan usia, dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, menjalani kehidupan bahagia, sejahtera, aman dan damai serta sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Majlis yang diadakan secara maya oleh ahli PSW.