PSY kembali dengan single baharu

Tak sampai tempoh 24 jam sejak ia mula dimuat naik di laman YouTube, muzik video single terbaharu penyanyi terkenal Korea Selatan, PSY berjudul That That pantas meraih hampir 30 juta tontonan.

That That merupakan single terbaharu PSY atau nama sebenarnya, Park Jae Sang, 45, di mana dia berkolaborasi bersama ahli kumpulan BTS, Suga yang juga bertindak selaku penerbit serta pencipta lagu tersebut.

Malah MV lagu tersebut menjadi trending di seluruh dunia yang mana rata-rata warganet merindui sentuhan terbaharu PSY selepas lagu fenomenanya, Gangnam Style yang pernah menggegarkan industri hiburan pada tahun 2012.

Ini merupakan single pertama PSY selepas hampir lima tahun merehatkan diri dalam industri.

Berita lanjut mengenai kolaborasi tersebut, PSY berkata Suga atau nama sebenarnya Min Yoongi, 29, ada mendekatinya tahun lalu dan memberikannya demo lagu yang dirasakan sangat bagus untuk diterbitkan. “Suga ada datang beritahu dia ada buat lagu baharu dan bila saya dengar, melodinya memang sangat bagus.

“Bila saya tengok dia (Suga), saya menjadi lebih terinspirasi,” katanya.

Sementara itu, Suga berkata dia tidak menyangkakan akan turut menyanyi lagu tersebut sehingga kemunculannya dalam karya berkenaan turut disambut baik seluruh fandom BTS yang digelar Army. “Secara jujurnya, saya tidak pernah semesra ini dengan mana-mana artis yang pernah saya buatkan lagu untuk mereka… sebab saya tidak akan berjumpa mereka secara berdepan. “Tapi lain halnya dengan PSY, dia mahu berjumpa dengan saya terlebih dahulu.

“Saya pun tak sangka akan menari bersama PSY dalam muzik video tersebut… saya ingat saya hanya menulis melodi dan lirik lagu itu sahaja,” kata Suga. – Agensi

PSY (kiri) telah berkolaborasi bersama ahli kumpulan BTS, Suga dalam single terbaharunya That That. – Agensi