PTAM sasar jurulatih dari Uzbekistan

KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) memutuskan untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Uzbekistan bagi membimbing skuad elit kebangsaan menerusi kontrak selama dua tahun.

Tanpa mendedahkan nama jurulatih berkenaan, Timbalan Presiden PTAM Mohd Iruan Zulkifli berkata, individu itu yang merupakan bekas atlet dari negara Asia Barat, dijangka tiba di Malaysia pada Oktober depan, setelah badan induk itu menyelesaikan pas kerja serta dokumen berkaitan.

“Kita lihat dari segi trek rekod dan setelah berbincang dan membuat penilaian, kita memutuskan bahawa beliau calon terbaik untuk melatih skuad elit negara. “Beliau bekas atlet yang pernah menang pingat emas pada temasya Sukan Olimpik selain pingat gangsa pada Sukan Asia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja PTAM bersama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Iruan menegaskan jurulatih berkenaan bukan sahaja sebagai jurulatih kepada skuad elit, tetapi turut bertanggungjawab menurunkan ilmunya kepada jurulatih tempatan. Beliau berkata Azmi Md Yunus yang membimbing skuad elit kebangsaan sejak 2017, akan diberi tugas membimbing skuad pelapis kebangsaan.

“Kita memberi tempoh setahun kepada beliau (jurulatih asing itu), dan Sukan SEA 2021 di Vietnam menjadi Petunjuk Prestasi Utama untuk beliau membuktikan kewibawaannya sebelum kita membuat keputusan lanjut,” jelasnya. – Bernama