PTE Sengkurong dinobat juara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Pasukan Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong memberikan hujah-hujah yang bernas dan penuh berkeyakinan di Peringkat Akhir Pertandingan Bahas, The Great Discussion, untuk dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan yang berlangsung Dewan Raya RTB, di ibu negara, hari ini.

Pasukan Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) berjaya mendapat tempat kedua dan Pasukan PTE Tutong pula mendapat tempat ketiga dalam pertandingan berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada para pemenang serta penerima ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengasas Bersama, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari; Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered (SCB), Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Ibrahim; Pengurus Cawangan Pusat bagi Guru-Guru British (CfBT), Dominic Morley; para pegawai kanan Kementerian Pendidikan, jemputan khas serta guru dan pelajar dari sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan.

Terdahulu dalam kata alu-aluannya, TYT Richard Lindsay menyatakan bahawa perubahan iklim merupakan satu ancaman dan kebimbangan bagi semua negara di dunia.

Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah bergambar ramai bersama juara-juara pertandingan bahas The Great Discussion yang diadakan di Dewan Raya RTB.

Oleh itu, jelasnya, kita harus bekerjasama untuk melaksanakan tindakan segera bagi mengurangkan pengeluaran, melindungi alam sekitar dan menangani bersama cabaran-cabaran global itu bagi membina masa hadapan yang lebih stabil untuk semua.

Beliau juga menekankan bahawa adalah amat penting bagi kita untuk melibatkan golongan belia dalam menangani masalah berkenaan kerana mereka merupakan pemimpin akan datang dan mereka harus memulakan perbincangan mengenai perubahan iklim serta peranan yang boleh mereka mainkan dalam memastikan generasi seterusnya dapat hidup di dunia yang lebih hijau dan bersih.

Dalam pertandingan peringkat akhir itu, kedua-dua pasukan iaitu SMSA dan PTE Sengkurong membincangkan mengenai tiga topik utama iaitu Negara Brunei Darussalam sebagai Pengerusi ASEAN pada 2021 harus mempunyai tumpuan yang kuat kepada perubahan iklim dan kemapanan, melindungi hutan dan biodiversiti akan menjadi peralatan penting dalam menangani perubahan iklim serta ekonomi negara-negara ASEAN yang akan menerima kesan langsung daripada perubahan iklim.

Pada pusingan akhir pertandingan berkenaan, panel hakim terdiri daripada Yang Berhormat Dayang Khairunnisa, Awang Muhammad Aziman bin Haji Awang Nasir dari Majlis Wawasan 2035, Dayang Noor Dina Zharina binti Haji Yahya dari Sekretariat Perubahan Iklim dan Awang Allen Lai dari Majlis Perniagaan ASEAN UK.

The Great Discussion yang dihoskan bersama oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam dengan disokong oleh CfBT Education Services dan SCB membawa tema ‘Perubahan Iklim’ amat penting bagi Negara Brunei Darussalam yang akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2021 di mana kerajaan dan perusahaan memainkan peranan penting dalam menggalakkan budaya kemapanan dalam bidang pertanian, ekonomi, alam sekitar dan kesaksamaan jantina.

The Great Discussion menyediakan platform sihat bagi para pelajar untuk melibatkan diri dalam isu-isu ekonomi dan sosial global yang boleh mendidik mereka untuk membangunkan lagi kemahiran komunikasi serta perbincangan mereka.