Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 13 MAC – Sebagai sebahagian daripada Kempen Amal Ramadan, pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRR) Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB) berpeluang mengembalikan kepada komuniti sekolah dengan menghulurkan sumbangan berupa keperluan makanan asasi kepada 27 penerima terdiri daripada pelajar dan kakitangan kurang berkemampuan pada majlis yang diadakan di dewan utama sekolah, baru-baru ini.
Hadir menyampaikan sumbangan ialah Timbalan Pengetua (Akademik), Lee Siew Peng.
Beliau diiringi oleh Yang Dipertua PRR sekolah bagi tahun 2024/2025, Awang Mohamad Irfan bin Mohamad Shaffie.
Selain itu, seramai 21 anak yatim dan penerima Majlis Kebajikan Masyarakat (MKM) dan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang menuntut dan bekerja di sekolah itu turut menerima bantuan masing-masing daripada Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Awang Mohd Shamry bin Haji Mohd Sani.
Sumbangan dikumpulkan sebagai sebahagian daripada usaha kolektif komuniti sekolah bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan golongan kurang berkemampuan di samping memberi peluang kepada ahli PRR untuk meneroka dan menganjurkan aktiviti khidmat masyarakat yang menggalakkan pemberian amal di sekolah dan masyarakat setempat.