BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Para ibu bapa dan penjaga pelajar hari ini menghadiri sesi pendaftaran bagi pelajar baharu tingkatan enam bawah Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) di dewan serba guna sekolah berkenaan.
Pendaftaran yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 5 Februari itu merangkumi sesi perbincangan mengenai pilihan subjek yang perlu diambil berdasarkan kerjaya masa depan pilihan para pelajar.
Selain itu, semasa sesi pendaftaran tersebut, pegawai ‘Front Desk’ juga akan melihat keputusan para pelajar untuk kelayakan masuk dan memberikan borang untuk mereka lengkapi.
Salah seorang guru kanan sekolah berkenaan, Dayang Isma Fazlina binti Haji Ismail semasa ditemui mengongsikan bahawa PTES menjangkakan akan menerima lebih daripada 300 permohonan pada tahun ini, dan pada hari ini sahaja lebih daripada 200 pelajar telahpun memohon untuk memasuki pusat berkenaan.
“Kami menyarankan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sini, memandangkan sekolah kami juga mempunyai kemudahan yang lebih baik, seperti pusat tingkatan enam yang lain,” jelasnya.
PTES menawarkan pelbagai subjek seperti Seni dan Rekaan, Reka Bentuk dan Teknologi, Bahasa Inggeris dan Sastera, Pengajian Makanan, Geografi, Sejarah, Pengajian Islam, Pengajian Melayu, Perjalanan dan Pelancongan, serta kursus sains dan sains sosial; Perakaunan, Biologi, Perniagaan, Kimia, Pengkomputeran, Ekonomi, Matematik, Fizik, Psikologi dan Sosiologi.
Sesi orientasi untuk pelajar tingkatan enam bawah PTES baharu akan diadakan pada akhir bulan ini.





























