PU Amin ‘berperang’ dengan antivaksin

Tindakan pendakwah pencetus ummah (PU) Amin berkongsi sijil vaksin zaman kerajaan Uthmaniah menerima pelbagai reaksi warganet yang segelintirnya menganggap pendapat itu sebagai tidak relevan pada situasi sekarang.

Tampil menjelaskan perkara tersebut, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim, 30, berkata, apa yang dilakukan itu hanya untuk memberi gambaran betapa pentingnya pengambilan vaksin atau bahan pelali bagi membendung penularan sesuatu wabak.

“Kalau tengok pada post yang saya kongsi tu saya nak menunjukkan sebenarnya bahawa pengambilan vaksin ataupun rawatan mencegah wabak menggunakan vaksin telah diamalkan sejak 1900 masihi.

“Masa tu pun penciptaan vaksin telah wujud. Ini adalah hak saya untuk bercerita manfaat vaksin, saya tak kata vaksin tu menyembuhkan, yang menyembuhkan Allah.

“Tapi kita bercerita pasal manfaat vaksin tu hak kita la, sama macam mereka bercerita tentang darurat vaksin,” katanya kepada wartawan.

PU Amin meluahkan rasa kesal dan kasihan kepada mereka yang menolak suntikan vaksin terutama yang terpengaruh dengan berita tidak sahih. – Agensi

Sebelum itu, warganet mempertikaikan perkongsian PU Amin baru-baru ini dengan menyifatkan tidak adil untuk menyamakan vaksin di zaman tersebut dengan vaksin COVID-19 pada ketika ini.

Sementara itu, PU Amin meluahkan rasa kesal dan kasihan kepada mereka yang menolak suntikan vaksin terutama yang terpengaruh dengan berita tidak sahih.

“Sebenarnya antivaksin dan yang ragu-ragu dengan vaksin ini kasihan sebab terpengaruh dan banyak mendengar berita-berita yang tak tepat.

“Contohnya daripada orang yang tafsir mimpi atau daripada mesej yang disebar tiada asas.

“Tak nak ambil awak punya masalah, tapi jangan hasut orang, jangan cerita ini dajjal… ini fitnah,” katanya. – Agensi