Puak Libya capai gencatan senjata ‘tetap’

GENEVA, 23 OKT – Dua puak bermusuhan Libya menandatangani perjanjian gencatan senjata ‘tetap’ hari ini selepas rundingan selama lima hari di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengalu-alukan tindakan tersebut sebagai peristiwa yang akan menjadi sejarah.

“Hari ini adalah hari baik untuk rakyat Libya,” kata Stephanie Williams, duta PBB ke negara Afrika Utara itu, di mana kerajaan di Tripoli telah bertempur dengan pentadbiran yang berpangkalan di timur dan dikuasai oleh ketua tentera Khalifa Haftar.

“Pada pukul 11:15 pagi di sini di ibu pejabat PBB di Geneva, dua wakil Libya menandatangani perjanjian gencatan senjata tetap yang berkuat kuasa serta-merta,” kata beliau.

“Perjanjian itu dianjurkan oleh PBB dan kami menandatanganinya sebagai saksi,” beritahunya pada sidang akhbar di bandar Swiss. Libya telah dibelenggu konflik hampir satu dekad lamanya, sejak penggulingan dan pembunuhan diktator Muammar Gadafi dalam pemberontakan yang disokong NATO.

Rundingan tajaan PBB itu diadakan dalam format Suruhanjaya Tentera Bersama 5+5 yang dihadiri oleh lima wakil dari setiap pihak.

Kejayaan diumumkan hari ini pada majlis menandatangani yang disiarkan secara langsung di laman Facebook misi PBB di Libya. – AFP

Gambar fail menunjukkan pejuang yang setia kepada Kerajaan Perjanjian Kebangsaan (GNA) berdiri di atas kereta kebal di bandar Tarhuna, tenggara Tripoli. Dua puak Libya menandatangani perjanjian gencatan senjata ‘tetap’ selepas rundingan lima hari. – AFP