LONDON, 20 Sept – Bekas kapten England, Rio Ferdinand (gambar) berkata bahawa dia kini mahu melancarkan kerjaya baru sebagai petinju profesional selepas dua tahun bersara dari bola sepak sebagai satu cara menyalurkan kemarahannya.
Bekas bintang Manchester United berusia 38 tahun itu, yang bersara dari bola sepak pada bulan Mei 2015, kini mengambil bahagian dalam projek ‘Defender to Contender’ oleh sebuah firma.
Isteri Ferdinand, Rebecca, meninggal dunia kerana kanser payu dara tidak lama selepas persaraannya dan dia juga kehilangan ibunya, juga kerana kanser.
“Saya sudah melalui banyak ujian dalam hidup saya,” kata Ferdinand kepada wartawan di London. “Ini adalah salah satu cara untuk menyalurkan keagresifan, kadangkala kemarahan, menjadi sesuatu yang boleh saya tumpukan.
“Saya tercari-cari perkara ini sejak saya bersara. Saya merindui persaingan. Ia adalah sesuatu yang saya tumpukan selepas beberapa tahun.”
Dia akan bersaing dalam cruiser-weight dan dilatih oleh bekas juara dunia, Richie Woodhall.
Ferdinand, yang kini bekerja sebagai pundit dengan BT Sport dan BBC, berkata dalam video promosinya: “Saya sudah memenangi gelaran (bola sepak) tetapi kini saya mahu merebut tali pinggang.”
Tetapi kedua Ferdinand dan Woodhall sedar bahawa bekas pertahanan Manchester United itu tidak dijamin untuk lesen profesional oleh British Boxing Board of Control. Rancangan Ferdinand mungkin menemui jalan buntu jika lembaga British menolak permohonan bagi mendapatkan lesen. – AFP