Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Puasa bagi pesakit buasir

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Puasa itu wajib bagi setiap orang Islam yang mukallaf sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.
    (Surah al-Baqarah: 183)

    Namun bagi orang sakit terdapat kelonggaran dalam menunaikan ibadat puasa, jika sakitnya itu menyebabkannya tidak terdaya untuk menunaikan puasa atau puasanya itu akan mendatangkan mudarat atau melambatkan kesembuhannya.

    Kelonggaran berpuasa bagi orang sakit ini disebutkan dalam al Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang maksudnya:

    Maka sesiapa antara kamu yang sakit, atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain.
    (Surah al-Baqarah: 184)

    Sungguhpun begitu, dalam keadaan sakit ada juga orang yang ingin meneruskan puasanya demi kerana ingin meraih keampunan selain pahala dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala di samping menghidupkan Ramadan sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.
    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Penyakit buasir adalah antara penyakit yang dihidapi oleh sebahagian orang. Penyakit buasir ini terjadi di bahagian dubur. Ia terjadi bila saluran urat darah mengembang dan bengkak di sekitar dubur.

    Jenis buasir

    Buasir atau hemorrhoids boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu buasir dalaman dan buasir luaran.

    Buasir dalaman adalah apabila buasir bermula dari dalam saluran dubur. Buasir dalaman ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum (bahagian usus besar yang paling bawah). Buasir dalaman tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang tertekan, teregang dan kadangkala ianya boleh pecah dan menyebabkannya berdarah.

    Sementara itu, buasir luaran pula berasal dari kawasan sekeliling lubang dubur. Buasir luaran ini selalu mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit.

    Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan.

    Tahap buasir

    Buasir boleh dibahagikan kepada empat tahap iaitu: Buasir hanya berdarah saja, tetapi tidak terkeluar dari dubur (Tahap 1); Buasir terkeluar dan boleh masuk dengan sendirinya, sama ada berdarah atau tidak (Tahap 2); Buasir terkeluar dan perlu ditolak semula ke dalam dengan jari, sama ada berdarah atau tidak (Tahap 3); dan Buasir terkeluar dan tidak boleh langsung dimasukkan semula (Tahap 4).

    Persoalannya bagaimana kedudukan puasa orang yang menghidap penyakit buasir, apabila buasir itu terkeluar dari duburnya sehingga terpaksa dimasukkan semula ke dalam dubur.

    Sebagaimana yang diketahui, antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak, termasuklah juga rongga dubur.

    Sehingga dalam perkara beristinja’ atau bersuci pada tempat rongga dubur juga hendaklah berhati-hati semasa sedang berpuasa kerana perbuatan demikian boleh membatalkan puasa jika memasukkan jari atau sesuatu benda seperti air ke dalam rongga dubur atau melebihi had yang diwajibkan beristinja’ atau bersuci.

    Adakah perbuatan sedemikian juga dikira membatalkan puasa bagi orang yang menghidap penyakit buasir?

    Puasa bagi orang sakit buasir

    Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan sama ada bagi orang yang ingin meneruskan ataupun tidak meneruskan puasanya kerana terdapat perbezaan bentuk rawatan yang diberikan mengikut tahap penyakit buasir itu sendiri.

    Ada yang hanya menggunakan krim bagi mengecutkan buasirnya, ada juga dengan memasukkan kembali buasir yang terkeluar dari dubur itu di samping makan ubat yang diberikan, dan ada juga dengan memasukkan alat atau ubat ke dalam dubur pesakit.

    Secara umumnya, jika puasa itu akan mendatangkan mudarat kepada dirinya, menambahkan sakitnya, melambatkan sembuh sakitnya atau puasa itu akan mengekalkan sakitnya, maka harus baginya berbuka puasa Ramadan tetapi wajib atasnya qadha. Begitulah juga hukumnya jika puasa itu menghalang dirinya daripada mendapat manfaat perubatan atau rawatan yang boleh menghilangkan sakitnya.

    Namun bagi sebilangan orang, walaupun dia menghidap penyakit buasir, tetapi dia ingin meneruskan puasanya kerana masih berdaya dan mampu mengurangkan kesakitan buasirnya dengan hanya menggunakan krim di luaran dubur, maka dalam hal ini dia boleh meneruskan puasanya itu.

    Melainkan jika rawatan yang dibuat itu dengan menggunakan alat atau ubat yang dimasukkan ke dalam dubur untuk mengurangkan sakit yang dialaminya, maka batal puasanya dan wajib dia mengqadha puasanya itu. Ini adalah kerana antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak, termasuklah juga rongga dubur.

    Berlainan halnya jika buasir itu bengkak dan terkeluar daripada dubur, kemudian masuk semula sama ada buasir itu masuk sendiri ke dalam dubur ataupun dimasukkan dengan menggunakan jari kerana darurat maka perbuatan sedemikian itu tidak membatalkan puasa.

    Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Bujairimi ‘Ala al-Khathib:

    Ertinya: Jika memasukkan buasir yang terkeluar (itu semula) ke dalam rongga duburnya dengan jarinya maka tidaklah dikira dia berbuka (puasa) dengan berbuat demikian sebagaimana disahihkan oleh al-Baghawi kerana darurat melakukannya.

    Maka jelaslah bahawa memasukkan buasir yang terkeluar dari dubur sama ada masuk dengan sendirinya ataupun dimasukkan dengan jari kerana darurat tidaklah membatalkan puasa.

    Demikianlah penjelasan mengenai kedudukan puasa orang yang menghidap penyakit buasir yang perlu difahami supaya pesakit berkenaan akan terus berpuasa melainkan jika ia mendatangkan mudarat ke atasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...