‘Puasa dan Hubungan dengan Khaliq’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Puasa adalah semulia-mulia ibadah di sisi Allah SWT setelah seseorang itu mendirikan ibadah sembahyang yang diwajibkan ke atasnya dan puasa itu ada hubungannya antara dirinya dengan Tuhannya iaitu Allah SWT dan antara sesama manusia.

Puasa merupakan sebaik-baik ibadah, kerana sebaik-baik puasa, seseorang itu dapat mengawal dan mengendalikan hawa nafsu daripada segala keinginan yang sentiasa mendorong kepada perkara-perkara yang tidak terbatas.

Perkara berkenaan diketengahkan oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Zulkifli bin Haji Zakaria dalam episod ke-13 Program Ramadan Mubarak bersama KUPU SB yang membawa tajuk ‘Puasa dan Hubungan dengan Khaliq’.

Dalam tazkirah secara online itu, beliau berkata, puasa dapat menahan ataupun mengawal diri kita daripada melakukan perkara yang mungkar. Jika seorang itu tidak dapat mengawal nafsunya ataupun tidak mengubah keinginannya maka bererti puasa itu belum dapat menjadi perisai pada dirinya dalam beribadah kepada Allah SWT.

Ini kerana Allah menyebutkan dalam Surah Yusof Ayat 53 bahawa sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendorong kepada kejahatan.

“Kita harus sentiasa muhasabah diri agar kita dapat melakukan ibadah puasa dengan sempurna dan diterima di sisi Allah SWT,” tambah beliau.

Sementara itu, episod ke-14 program tazkirah dalam talian berkenaan diteruskan hari ini dengan tajuk ‘Adab Menziarahi Kubur’ yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan KUPU SB, Dr Haji Roslan bin Haji Untong.

Beliau berkata, antara amalan yang sering dilakukan dalam bulan Ramadan adalah amalan menziarahi kubur, yang mana ia merupakan satu amalan mulia yang patut dikekalkan dan dilakukan sampai bila-bila.

Dalam tazkirahnya itu, beliau mengongsikan adab-adab menziarahi kubur di mana penziarah disunatkan untuk berwuduk terlebih dahulu dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat dan apabila sampai di tanah perkuburan turut disunatkan memberi salam.

Dr Haji Zulkifli semasa menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Puasa dan Hubungan dengan Khaliq’.