SAN JUAN, 21 Sept – Setahun berlalu selepas dibadai taufan Maria, beberapa pusat membeli-belah, hotel, rumah, ladang, agensi kerajaan serta infrastruktur jalan raya di Puerto Rico masih belum pulih sepenuhnya.
Antara pusat membeli-belah yang mengalami kerosakan teruk ialah San Juan Mall, Plaza Carolina dan Plaza Reall.
Pengurus Besar San Juan Mall, Jose Ayala Bonilla memberitahu EFE, pusat itu terpaksa ditutup selama 30 hari akibat Maria, setakat ini hanya 45 dari 100 kedai dibuka.
Kerosakan bangunan yang dibuka pada 2015 itu dianggarkan AS$2 juta dan antara 15 hingga 20 kedai perlu dibina semula.
Satu lagi pusat membeli-belah Saks Fifth Avenue, masih ditutup dan tidak pasti bila ia boleh dibuka.
Memandangkan kemungkinan ribut lain melanda, Ayala berkata pihak pentadbir telah mengubahsuai beberapa kemudahan, termasuk sistem saliran air dari bumbung dan dinding.
Sementara itu, hampir 100 peratus pengeluaran pertanian musnah, kerugian dianggarkan lebih AS$2 bilion, sementara beberapa pejabat kerajaan terpaksa berpindah ke lokasi lain. – Bernama