SEBELUM bencana alam Taufan Maria yang melanda Puerto Rico baru-baru ini, Jose Figueroa sering menerima tempahan yang hebat dan banyak dalam perniagaan sewaan kayak untuk para pelancong yang beria-ria untuk melihat sebuah lagun yang indah dan bersinar apatah lagi pada waktu malam disebabkan oleh berjuta-juta mikroorganisma yang mendiami kawasan lagun tersebut.
Pada hari ini, situasi itu sudah berubah malah bilangan pelancong semakin berkurangan sehingga Jose cuba mempertimbangkan menjual air kelapa kepada para pemandu yang berhenti tatkala lampu merah.
“Kini, kami cuba bertahan sejauh mana yang kami mampu,” kata pemandu pelancong itu kepada wartawan media.
Sebelum ini, para pelancong terpaksa menempah terlebih awal untuk mendapatkan perkhidmatan sewaannya dan berkayak di kawasan lagun yang bersinar di kawasan gelap dengan hidup laut mikroorganisma yang dipanggil sebagai Laguna Grande.
Namun pada hari ini, para pelancong semakin berkurangan dan negara-negara di kepulauan Caribean cuba pulih dari kemusnahan taufan pada bulan September yang lalu.


“Kami tidak tahu sama ada kami akan mempunyai pelanggan pada malam ini kerana pada minggu yang lalu, kami hanya menerima seorang sahaja pelancong dalam masa satu hari, menyedihkan,” tambah Jose lagi kepada wartawan AFP.
Jose dan beberapa pekerja dari syarikat yang lain membersihkan kayak-kayak mereka setiap hari di tepi Pantai Fajardo, sebuah kawasan pelancongan di Puerto Rico yang sangat terkenal dengan tarikan utamanya iaitu Bio Bay.
Tahun ini merupakan tahun yang bersejarah buat pulau itu di mana Puerto Rico menjadi lokasi terkenal disebabkan kejayaan lagu global ‘Despacito’ oleh pemuzik tempatan negara itu, Luis Fonsi dan juga Daddy Yankee.
Lagu yang menarik itu telah berjaya membantu dalam mempromosikan pulau komuniti Amerika Syarikat yang mempunyai penduduk sebanyak 3.4 juta orang dan sebelum ini, pulau itu dibebani dengan hutang yang besar dan diisytiharkan muflis pada bulan Mei yang lalu.
Namun berikutan taufan tersebut, pulau tersebut yang mana sebelum ini menjadi sebuah pulau yang ramai dengan pelancong menjadi kosong, terpencil dan kebanyakan restoran ditutup serta hotel-hotel mewah dipenuhi dengan pegawai-pegawai Amerika Syarikat yang bekerja untuk memastikan pembangunan semula pulau tersebut.
“Apa yang kami terima ialah kedatangan pegawai-pegawai besar dari Amerika Syarikat sebagai pelancong kami,” tambah Jose lagi kepada wartawan media.
Penduduk tempatan sahaja
Majlis Pelancongan dan Pelancongan Dunia, yang berpusat di London, mengatakan bahawa pelancongan negara itu telah menyumbang kira-kira lapan peratus daripada KDNK Puerto Rico pada tahun 2016 atau AS$8.1 bilion. Kerosakan berikutan taufan itu tidak dapat dianggarkan disebabkan kemusnahan yang sangat teruk.


Walaupun beberapa pemandu pelancong sekarang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan kebanyakan restoran ditutup namun hotel-hotel masih berfungsi seperti biasa disebabkan penjanaan kuasa sendiri yang masih lagi berfungsi dengan baik.
Berikutan perancangan pembinaan semula pulau tersebut oleh pegawai-pegawai kerajaan AS dianggarkan kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan hotel di pulau berkenaan berjaya dibuka semula untuk kunjungan orang ramai.
Kebanyakan tempahan yang dibuat sebelum ini telah dibatalkan oleh pelanggan namun hotel-hotel di pulau itu masih menerima kedatangan pelancong untuk menyambut sambutan Natal di negara itu. Sekurang-kurangnya beberapa hotel di San Juan beroperasi seperti biasa, di mana kuasa tenaga semakin pulih di kawasan tersebut.
“Taufan tersebut telah menyebabkan beberapa billion kerugian,” kata Jose Izquierdo kepada wartawan media. Jose merupakan pengarah eksekutif Syarikat Pelancongan Puerto Rico namun Jose merasa sangat optimis dan mencadangkan pelbagai alternatif dengan mencadangkan pelancong bekerja sebagai sukarelawan dalam usaha pembinaan semula pulau berkenaan. “Kami mahu mencari pelancong yang ingin melakukan pelancongan dengan satu tujuan, mempunyai komitmen untuk membantu membina semula,” tambah Jose lagi kepada media.
Program yang dipanggil sebagai ‘Perjalanan Bererti’ itu mula dilancarkan pada pertengahan Bulan November yang lalu dan telah menganjurkan perjalanan di mana penduduk Puerto Rico yang tinggal di luar negara kembali semula ke pulau itu untuk membantu lagi dalam proses pembinaan pulau berkenaan.
“Perancangan ini bertujuan untuk mewujudkan empati dengan destinasi pelancongan dan kami mahu menjadi seperti New Orleans selepas Katrina, di mana selepas 10 tahun kejadian taufan itu, kawasan tersebut menjadi destinasi pelancongan yang hebat, penggerak ekonomi negara. Kami mahu membina naratif pemulihan itu,” kata Jose lagi kepada media AFP.
“Sebenarnya terdapat banyak cara yang berbeza di mana dunia mahu membantu Puerto Rico dan cara yang terbaik adalah dengan melawat kami di sini,” tambah Jose mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP






















