Puigdemont ditahan di Jerman

NEUMUNSTER, 27 Mac – Mahkamah Jerman terus menahan bekas presiden Catalan Carles Puigdemont sementara menantikan kemungkinan untuk diekstradisi ke Sepanyol untuk berdepan dengan dakwaan ‘memberontak’.

Puigdemont akan ‘terus berada dalam tahanan buat sementara waktu, sehingga satu keputusan dibuat berhubung prosedur pengekstradisian,” menurut pengumuman mahkamah wilayah di Kiel, utara Jerman, sehari selepas Puigdemont diberkas.

Penahanan bekas pemimpin Catalan di Jerman, telah mencetuskan bantahan keras di Catalonia, berlaku lima bulan selepas dia melarikan diri ketika pihak pendakwa Sepanyol bakal mendakwanya terhadap tuduhan menghasut dan memberontak selepas undian parlimen Catalan untuk mengisytiharkan kemerdekaan.

Mahkamah di utara Jerman telah menolak permintaan daripada pasukan undang-undang Puigdemont agar dia dibebaskan sementara menantikan waktu keputusan ekstradisi oleh pihak berkuasa Jerman.

Dia telah diberkas pada Ahad selepas dia menyeberangi sempadan ke Jerman dari Denmark, di bawah waran Eropah yang dikeluarkan oleh Sepanyol. Menurut peguam Puigdemont, Jaume Alonso-Cuevillas dia dalam perjalanan pulang ke Belgium di mana dia melarikan diri selepas langkah pihak berkuasa Sepanyol untuk mengenakan pemerintahan langsung ke atas Catalonia.

Gambar fail bertarikh 22 Januari 2018 menunjukkan Carles Puigdemont berucap semasa satu perdebatan di Universiti Copenhagen. Dia kini ditahan di Jerman hingga satu keputusan ekstradisi ke atasnya diumumkan. – AFP

Penahanannya menandakan lembaran terbaharu dalam kisah pemisahan yang panjang yang membahagi Catalan dan dicetuskan oleh krisis teruk politik Sepanyol dalam beberapa dekad.

Keputusan ekstradisi lazimnya mesti dibuat dalam tempoh 60 hari mengikut undang-undang Jerman. Seorang jurucakap bagi pejabat pendakwa raya bagi negeri Schleswig-Holstein memberitahu AFP ia ‘mungkin tidak selesai minggu ini’ menjelang cuti Easter.

Di Barcelona, Ahad, polis Catalan dilengkapi dengan peralatan berdepan rusuhan, menolak dan memukul para penunjuk perasaan dengan belantan untuk menghalang orang ramai daripada bergerak menuju ke pejabat perwakilan kerajaan Sepanyol di bandar yang kaya di timur laut Sepanyol. – AFP