Puisi kami buat bumi Darussalam

Sudah enam tahun sejak kami mula-mula menjejak kaki di Brunei Darussalam untuk saya mula bekerja di sebuah institusi terkemuka, bersama isteri saya, menjadikan negara ini sebagai sebuah tempat yang juga menjadi tempat kami bermastautin!

Sejujurnya, kami tidak pasti apa yang akan dihadapi, nampaknya jangkaan seolah-olah kami telah mendarat di ‘Permata Hijau’ selepas bangunan pencakar langit Dubai! Walau bagaimanapun, dalam tempoh enam tahun ini kami telah mencatat kenangan yang sungguh manis dan menakjubkan sehingga amat sukar untuk menulis kesemuanya!

Maka, pada suatu petang, saya dan isteri saya mula mengimbau rahmat yang dinikmati, dan tidak dapat memutuskan apa yang lebih berharga; cahaya matahari menyinari dedaun pokok yang rimbun dan hijau dengan tiupan angin sepoi-sepoi awal pagi, langit kelihatan bermandikan cahaya merah jambu dan jingga dari matahari terbenam yang indah, gambaran awan yang sempurna di langit biru yang cerah, hujan gerimis pada waktu petang, menyaksikan sekumpulan monyet menelusuri pepohonan di ruang tamu kami, dan suara-suara cicak seakan berkata-kata (yang tidak pernah kami alami di negara kami) kubah emas yang berkilauan di mercu tanda ikonik Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien melalui ‘Frame Brunei Darussalam’ dari satu permukaan dan perkampungan paling lama di Brunei, Kampong Ayer, dari arah yang lain, sifat rendah hati dan kebaikan yang menjadi naluri rakyat di sini, senyuman manis terukir di mana-mana, rakan-rakan tempatan dan diplomatik yang dibina sepanjang hayat…. dan senarai itu tidak akan berakhir!

Suasana ceria yang diserikan dengan titisan hujan, kehijauan tumbuh-tumbuhan dan ketenangan semuanya dilengkapkan dengan semangat dan sifat ‘Berjiwa Brunei’ setiap orang. Kami tidak akan melupakan Ramadan kami di sini; bergegas ke masjid dalam gerimis hujan untuk mengerjakan solat sunat Tarawih, dan seluruh negara bergema dengan laungan zikir dan ketenangan rohani, satu pengalaman unik bagi Brunei.

Kami mula memahami erti ‘makan’. Ia bukan sahaja kemurahan hati dan jemputan ke majlis-majlis, tetapi juga pengalaman budaya yang paling menyentuh hati. Dan ia memuncak semasa sambutan Hari Raya selama sebulan. Jika awda belum menziarahi sekurang-kurangnya 50 buah rumah terbuka dan menambah berat sebanyak 5kg – awda belum menikmati kehidupan!

Brunei sungguh mempesonakan awda. Awda akan rasa terharu dengan sifat rendah hati orang Brunei. Dan keramahan mereka menyentuh perasaan awda. Ia sesuatu yang menakjubkan tetapi sungguh berjiwa ‘Darussalam’ yang sebenar.

Semasa kapal terbang kami berlepas di kala senja berlabuh, hati kami sayu – sarat dengan kenangan manis yang begitu meresap di jiwa, mendalam namun menggembirakan kerana dikurniakan enam tahun yang paling berkesan dalam hidup kami.

Terima Kasih Brunei! Kami akan merindui kamu!

Mubashar Khokhar
Mehreen Khokhar