Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PUJA anjur Pesta Ria Keluarga dan Makanan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) terus meningkatkan usaha komited ke arah mempertingkatkan lagi kemahiran serta keupayaan para ahlinya supaya mereka mampu memberikan perkhidmatan yang profesional kepada para pelanggan mereka.

    Di samping itu, PUJA tidak ketinggalan untuk memberikan penekanan kepada amalan gaya hidup yang sihat serta pentingnya untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan serta silaturahim di kalangan ahlinya menerusi penganjuran Pesta Ria Keluarga dan Makanan PUJA (Brunei) yang berlangsung di Kawasan Letak Kereta, Jabatan Kerja Raya, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian pesta ria yang julung-julung kalinya diadakan oleh PUJA itu ialah Presiden PUJA (Brunei), Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    Dalam kata alu-aluannya, Haji Mohammad Nazri mengumumkan bahawa PUJA (Brunei) bersama-sama Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan PUJA (Brunei) ke-3 yang membawa tema ‘Professional in National Gross Domestic Product Improvement’ pada 11 November nanti di UTB.

    Beliau menambah, persidangan itu nanti akan mengetengahkan seramai 11 orang penceramah tempatan dan luar negara termasuk pelajar dari UTB yang akan membentangkan kertas kerja mereka mengenai bagaimana para profesional boleh menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Mengulas mengenai dengan pesta ria itu, beliau berkata bahawa ia merupakan salah satu usaha PUJA untuk bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat di kalangan ahli-ahlinya tetapi dengan penyertaan para peniaga tempatan dalam bazar jualan, ia menunjukkan sokongan padu PUJA kepada membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk mengetengahkan lagi produk dan perkhidmatan mereka.

    Haji Mohammad Nazri menyempurnakan perasmian pesta ria berkenaan.
    Antara gerai peniaga tempatan yang dikunjungi oleh tetamu kehormat.

    Pesta ria itu dimulakan dengan acara berbasikal yang melibatkan kira-kira 20 orang ahli PUJA bersama keluarga mereka di mana ia merupakan sebahagian daripada program gaya hidup sihat yang disokong oleh pertubuhan berkenaan.

    Pesta ria itu merupakan acara pesta ria komuniti pertama yang dianjurkan bagi kunjungan orang ramai oleh PUJA (Brunei) di mana ia diharap dapat bukan sahaja untuk mengetengahkan peniaga-peniaga tempatan yang berpotensi tetapi juga untuk mempromosikan semangat keusahawanan serta bagi mengangkat dan mempromosikan lagi peranan kerjaya arkitek, jurutera dan jurukur.

    Pesta ria itu mengetengahkan kira-kira 40 peniaga tempatan yang menjual pelbagai produk termasuk makanan dan minuman serta diserikan lagi dengan kegiatan riadah untuk kanak-kanak dan seisi keluarga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda