PUJA Brunei bakal anjur CAFEO39

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Pertubuhan, Ukur Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei akan menganjurkan Persidangan Persekutuan Persatuan Kejuruteraan ASEAN ke-39 (CAFEO39) pada 29 November hingga 3 Disember depan secara maya.

Pemakluman mengenai persidangan itu telah dibuat semasa sidang media di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas yang dihadiri oleh Setiausaha Agung PUJA, Ir Chin Lee Tuck, dan ahli Majlis PUJA, Ir Julian Fung.

CAFEO39 akan menghimpunkan ahli badan kejuruteraan profesional dari negara anggota ASEAN.

Menurut kenyataan PUJA, CAFEO tahun ini memilih tema Kejuruteraan dan Perubahan Iklim kerana perubahan iklim kekal sebagai cabaran terbesar dalam abad ke-21 dan kepentingan kejuruteraan dalam menyediakan penyelesaian praktikal dalam aplikasi dunia sebenar.

Bagi persidangan tahun ini, sebanyak 39 kertas kerja teknikal akan dibentangkan oleh penceramah dari 10 negara ASEAN dan India, Jepun dan Scotland, yang terdiri daripada jurutera dan pelajar dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi.

Persidangan itu turut menampilkan program menarik lain seperti perkongsian kisah kejayaan wanita-wanita Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada Sidang Kemuncak Jurutera Wanita, perkongsian mengenai tenaga bersih dan perubahan iklim oleh jurutera-jurutera pada Forum Tenaga dan membincangkan peranan jurutera muda dalam menangani perubahan iklim dalam sesi dialog perubahan iklim.

Ir Chin Lee Tuck semasa sidang media berkenaan juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa kerja dan penaja serta semua ahli
PUJA Brunei kerana menjayakan persidangan pada kali ini.

Ir Chin Lee Tuck semasa sidang media memaklumkan mengenai persidangan yang akan berlangsung pada 29 November hingga 3 Disember depan.