PUJA Run and Cycle Dis ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Dengan hasrat untuk memupuk gaya hidup yang sihat menerusi kegiatan riadah sambil beramal, Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) akan mengadakan PUJA Run and Cycle 2018 pada Disember di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini.

Acara yang dianjurkan oleh Bahagian Kejuruteraan PUJA itu bukan sahaja dihasratkan untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli PUJA untuk mengikuti kegiatan riadah sambil beramal bersama keluarga, tetapi ia juga mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk sama-sama menyertai acara larian dan berbasikal amal berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PUJA, Haji Mohamad Zin bin Salleh semasa sidang media mengenai PUJA Run and Cycle 2018 yang berlangsung di Pejabat PUJA, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

Acara itu, jelasnya lagi, juga dihasratkan untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai PUJA sebagai sebuah pertubuhan profesional yang mempunyai keahlian kira-kira 800 orang.

Pada masa yang sama, acara itu juga merupakan usaha amal PUJA untuk mengutip sumbangan yang akan dihulurkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan.

Penyertaan bagi acara larian dan berbasikal berkenaan sedang dibukakan untuk penyertaan orang ramai di mana sebanyak tiga kategori larian diadakan iaitu larian sejauh tiga kilometer, enam kilometer dan 10 kilometer serta acara berbasikal sejauh 21 kilometer yang bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada pukul awal pagi.

Haji Mohamad Zin berkata, keunikan laluan bagi acara larian dan berbasikal itu ialah para peserta bagi acara Larian 6km dan 10km serta berbasikal 21km, ialah para peserta akan berpeluang melalui Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Bandar Seri Begawan.

Acara itu juga diadakan bersempena dengan Festival Disember Brunei 2018 di mana pada masa ini, lebih 500 penyertaan telah dicatatkan. Pihak penganjur menyatakan harapan untuk mendapatkan kira-kira 1,000 penyertaan bagi acara riadah sambil beramal berkenaan di mana penyertaan dibukakan sehingga November nanti.

Haji Mohamad Zin ketika menjelaskan mengenai PUJA Run and Cycle 2018 yang akan diadakan pada Disember nanti semasa sidang media yang berlangsung di Pejabat PUJA, Kampung Anggerek Desa, kelmarin.