Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan PUJA
BELAIT, 20 JULAI – Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei, hari ini, menyertai Hari Terbuka Kejuruteraan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) untuk mengetengahkan mengenai PUJA dan faedah keahlian kepada kakitangan kejuruteraan BSP dan industri minyak dan gas.
Hari terbuka berkenaan menampilkan jabatan-jabatan berlainan dalam penyahtauliahan dan pemulihan (D&R) dan Bahagian Kejuruteraan Aset BSP serta inovasi dan teknologi yang telah digunakan dalam profesion masing-masing.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Yang Dipertua PUJA, Sr Haji Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman.
Pada acara itu, Naib Presiden PUJA dan Pengerusi Bahagian Jurutera PUJA, Ir Chin Lee Tuck telah memperkenalkan mengenai PUJA Brunei, faedah dan keistimewaannya serta menjelaskan panduan bagaimana untuk menjadi ahli PUJA Brunei.
Pengurus D&R di BSP, Haji Idris bin Haji Mohd Jaafar dalam ucapannya antara lain menjelaskan, objektif utama acara itu adalah untuk mempromosikan profesion juruukur, jurutera dan arkitek di Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu juga untuk mempelajari amalan terbaik dan memupuk rangkaian dalam kalangan profesional dari industri pembinaan serta minyak dan gas.
Hari terbuka itu telah disertai 70 peserta yang terdiri daripada ahli PUJA, kakitangan dari Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) dan syarikat industri minyak dan gas lain.
BSP turut menganjurkan lawatan kerja ke tapak projek kejuruteraan utama yang sedang dijalankan di limbungan marin.