Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh VFA
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Persatuan Bola Sepak Veteran (VFA) Brunei Darussalam hari ini telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan VFA kali ke-7 2016 di dewan kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.
Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Presiden VFA Brunei Darussalam, Liew Chuan Fue yang antaranya menyatakan rasa berterima kasih kepada semua warga VFA yang telah memberikan komitmen dan meluangkan masa bagi sama-sama menjayakan program yang diaturkan oleh VFA itu.
Menurutnya, komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan oleh semua yang terlibat menjadi pembakar semangat kepada barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir VFA untuk bergiat lebih aktif lagi dan memacu VFA ke tahap yang lebih maju.
“Ahli jawatankuasa sesi 2016 – 2018 akan terus menjalankan tugas untuk memastikan semua ahli dapat memanfaatkan program dan aktiviti yang dijalankan oleh persatuan ini,” tegasnya lagi kepada semua ahli-ahli persatuan yang menghadiri majlis itu.
Beliau menyatakan rasa gembira dan berpuas hati apabila aktiviti utama VFA iaitu Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan dan Brunei 7’s International Soccer Challenge semakin mendapat sambutan dari pasukan-pasukan yang menyertainya.

“Penglibatan ahli-ahli melalui jawatankuasa untuk tugasan penyelenggaraan kejohanan-kejohanan juga semakin mantap dan saya percaya Jika semangat setiakawan seperti ini dapat teruskan dan dimantapkan tidak mustahil kedua-dua kejohanan itu akan menjadi kejohanan bola sepak veteran yang hebat dan dihormati oleh semua pihak,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan di sebalik kejayaan juga terdapat kelemahan yang mendapat kritikan dan menyarankan supaya perasaan tidak puas hati itu disalurkan secara profesional dan tidak hanya menyuarakan melalui media sosial yang menurutnya tidak seharusnya terjadi.
“Jika ada sesuatu yang hendak ditegur, maka tegurlah dengan adab sopan sesuai dengan adat kita orang Timur dan pada saya itulah yang sebaiknya dibuat oleh semua pihak berkenaan,” tambahnya lagi.
Menurut presiden VFA itu lagi, persatuan akan terus mengungkayahkan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja untuk ahli-ahlinya, malah untuk masyarakat di luar VFA misalnya menubuhkan sebuah akademi bola sepak yang akan melatih pemain-pemain dari peringkat usia kanak-kanak hinggalah remaja.
“Di samping itu, VFA turut merancang aktiviti lain yang dapat membantu masyarakat yang tidak bernasib baik. Diharap ahli-ahli dapat turut serta menjayakannya nanti,” tambahnya.