Saturday, November 2, 2024
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puji pendekatan holistik

    Oleh Sim Y. H.

    TUTONG, 17 JUN – Kementerian Kesihatan amat menghargai serta menyanjung tinggi penglibatan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang sangat signifikan dan proaktif ke arah usaha bersepadu dan bekerjasama berganding bahu melalui pendekatan whole of government dan whole of nation untuk menangani penularan wabak COVID-19.

    Dengan daulat dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta berdoa, bertawakal dan melaksanakan usaha-usaha melalui pendekatan senegara dan holistik, negara telah kembali pulih serta dapat menikmati semula kesejahteraan kehidupan walaupun dalam suasana norma baharu.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin ketika berucap pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki ABDB Pengambilan ke-168, yang berlangsung di Padang Kawad, Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, hari ini.

    Beliau berkata bahawa sumbangan signifikan dan proaktif daripada Kementerian Pertahanan telah membawa kepada kejayaan. Sumbangan itu antara lainnya adalah dalam bentuk bantuan pentadbiran, logistik, kepakaran termasuklah prasarana iaitu penggunaan Markas Khidmat Perubatan & Kesihatan (MRS), Bolkiah Garison bagi memberikan bantuan vaksinasi dan ujian saringan yang telah membantu mengurangkan serta meringankan bebanan Kementerian Kesihatan.

    Haji Maswadi semasa berucap pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki ABDB Pengambilan ke-168.

    “Penglibatan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB tidak sahaja tertumpu pada bantuan pencegahan dan pengawalan wabak, malah tetap fokus kepada tugas utamanya iaitu menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara melalui pendekatan-pendekatan tertentu,” ulas Haji Maswadi lagi.

    Beliau menambah bahawa peranan pelbagai fungsi (Multi-Functional) yang ditunjukkan oleh ABDB selama ini, adalah manifestasi terhadap keupayaan dan kesiapsiagaan yang tinggi dan beradapatsi melalui penyediaan latihan ketenteraan yang mantap.

    Ia juga mempamerkan bahawa angkatan tenteranya terlatih dan moden, yang bukan sahaja mampu diatur gerak bagi melaksanakan operasi tradisional malah bukan tradisional seperti krisis akibat pandemik.

    Menyentuh mengenai latihan ketenteraan, Haji Maswadi berkata Institut Latihan ABDB adalah sebuah institusi latihan ketenteraan ABDB tertua, yang bertanggungjawab terhadap penghasilan tenaga manusia yang cekap dan mahir bagi ABDB.

    Oleh itu, beliau menaruh keyakinan dan harapan supaya institut latihan akan terus dan sentiasa mengemas kini pendekatan latihan yang relevan mengikut keperluan persekitaran keselamatan semasa yang sentiasa berubah.

    Haji Maswadi dalam ucapannya lagi, mengingatkan semua rekrut yang menamatkan latihan supaya sentiasa menjaga disiplin, keperibadian yang luhur dan nama serta imej baik ABDB supaya terus diberikan keyakinan, kepercayaan dan dihormati bukan sahaja oleh masyarakat malahan oleh negara-negara sahabat.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda